TM diiktiraf majikan pilihan 2021 | DagangNews Skip to main content

TM diiktiraf majikan pilihan 2021

Majikan Pilihan Graduan Paling Menarik untuk Bekerja bagi tahun 2021

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH 
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 19 Nov. - Telekom Malaysia Berhad (TM) diiktiraf sebagai salah satu Majikan Pilihan Graduan Paling Menarik untuk Bekerja bagi tahun 2021 (Most Attractive Graduate Employers to Work for in 2021).

 

Pengiktirafan itu diterima bersempena Anugerah Pilihan Graduan ke-3 tahun 2020 anjuran Talentbank.

 

Diiktiraf oleh lebih 750 organisasi seluruh negara, Anugerah Pilihan Graduan merupakan anugerah terkemuka yang memberi pengiktirafan kepada organisasi-organisasi hebat yang mempamerkan penjenamaan majikan yang cemerlang.

 

TM turut berada di tempat pertama bagi kategori Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan di kedudukan tiga teratas dalam kategori Telekomunikasi.

 

Ketua Pegawai Modal Insan TM, Farid Basir berkata, anugerah-anugerah yang diterima itu adalah bukti kukuh kepada komitmen dan usaha syarikat dalam melahirkan warga TM yang berkemahiran digital merentas semua fungsi operasi.

 

"Kami juga sentiasa memperkukuhkan keupayaan dan kompetensi para anggota kami ke arah membina tenaga kerja yang bersedia untuk masa hadapan, bukan sahaja untuk syarikat, malah untuk negara.

 

"Sebagai majikan pilihan, kami telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membangun dan melengkapi Warga TM dengan kemahiran serta ilmu yang perlu untuk masa hadapan menerusi program-program latihan dan peningkatan kemahiran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Baru-baru ini, TM turut menerima tiga anugerah di 11th Asia’s Best Employer Brand Awards dalam kategori Jenama Majikan Terbaik (Best Employer Brand); Kecemerlangan dalam Latihan (Excellence in Training) dan Inovasi dalam Pengambilan (Innovation in Recruitment).

 

Dihoskan oleh Employer Branding Institute, World HRD Congress dan Star of the Industry Group, Asia’s Best Employer Brands Awards mengiktiraf usaha organisasi-organisasi di rantau Asia yang telah menunjukkan penjenamaan majikan yang cemerlang menerusi strategi bakat yang efektif, pembangunan bakat dan inovasi bakat.

 

Pada Februari 2020 bersempena dengan World HRD Congress ke-28, TM telah menerima dua lagi anugerah iaitu dalam Amalan-amalan di Tempat Kerja Terbaik (Best Workplace Practices) di Global HR Excellence Awards dan Majikan Pilihan (Employer of Choice) di HR Tech Award & Conferences yang dianjurkan di Mumbai. - DagangNews.com