TM Future Skill jana kemahiran digital guru | DagangNews Skip to main content

TM Future Skill jana kemahiran digital guru

TM Future Skill

KUALA LUMPUR 16 Julai - Pengenalan program TM Future Skill hasil kerjasama Telekom Malaysia Berhad (TM) dan Pejabat Pendidikan Daerah Bangsar/Pudu (PPDBP) memberi peluang kursus kepada guru dan pelajar di sekolah terlibat berkaitan kemahiran dan pengetahuan berasaskan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).

Naib Presiden Jenama dan Komunikasi Kumpulannya, Izlyn Ramli berkata, sebagai penyedia infrastruktur sambungan dan digital negara, pihaknya akan terus memperkasa masyarakat menerusi usaha-usaha pembinaan negara terutamanya dalam bidang pendidikan.

"TM Future Skill ini adalah salah satu inisiatif yang bertujuan untuk mendedahkan para pelajar dan pendidik kepada bidang inovasi yang dirumuskan dalam modul percetakan 3D TM 3Education dan TM Nano Maker Kit sekali gus memperkasakan bidang pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

TM Future Skill

"Usaha ini untuk mempersiapkan mereka menjadi sebahagian daripada komuniti yang bersedia dari segi digital di masa hadapan. Perkara ini juga menjadi teras di bawah aspirasi digital Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

Bengkel tersebut juga turut melatih para guru yang terlibat berkenaan pengaplikasian 3D dan Data Logging dengan Pembelajaran Berasaskan Projek (PBL) dalam kurikulum pendidikan.

Latihan itu menggalakkan lagi para pelajar memahami teknologi, daya kreativiti serta kemahiran penyelesaian masalah.

TM Future Skill

TM Future Skill direalisasikan menerusi kerjasama strategik TM, Universiti Multimedia (MMU) dan PPDBP bersama rakan teknologi CR TM dan Creative Minds sebagai pengendali latihan.

Tambah Izlyn, siri bengkel secara dalam talian turut dijalankan bagi proses pengukuhan teori TM Future Skills.

TM Future Skill

"Semasa fasa awal pandemik COVID-19, siri-siri bengkel e-Workshop telah dijalankan secara dalam talian melibatkan 80 warga pendidik dari sekolah yang terpilih. Sepanjang PKP itu, mereka diberi latihan mengenai teori TM Future Skill.

"Semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pula, para guru muka menjalankan eksperimen teknologi berasaskan STEM secara praktikal bersama pelajar mereka," jelasnya lagi. -DagangNews.com