Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 8 Julai - Telekom Malaysia Bhd. (TM) akan terus memperkukuhkan lagi perkhidmatan jalur lebarnya, unifi, sebagai peneraju penyedia penyambungan di negara ini.
Kini, unifi terbukti menjadi pilihan utama rakyat Malaysia dengan jumlah pelanggannya kira-kira 2 juta.
Ini secara tidak langsung meletakkan unifi sejajar dengan hasratnya untuk muncul sebagai peneraju konvergens, mudah alih dan kandungan terkemuka di Malaysia.
Ketua Pegawai Komersial TM, Anand Vijayan berkata, pasaran jalur lebar telah menyaksikan perkembangan pesat tahun ini terutama didorong oleh perintah kawalan pergerakan (PKP) dengan lebih ramai orang tinggal dan bekerja dari rumah.
"Oleh itu, kami berharap unifi dapat menawarkan perkhidmatan pelengkap kepada produk jalur lebar dengan 5G dan teknologi WiFi baharu pada masa akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian dalam taklimat media secara maya mengenai penawaran dan inisiatif terbaharu unifi hari ini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Pemasaran TM, Shanti Jusnita Johari dan Ketua Segmen Perniagaan Pengguna unifi, Ahmad Nasri Mohamed.
Perkhidmatan unifi mencatatkan pertumbuhan kukuh dengan pendapatannya meningkat 7.5% pada suku pertama tahun ini berbanding suku sama tahun lalu meskipun berdepan persekitaran mencabar dicetuskan pandemik.
unifi mengekalkan momentum kukuh dan peneraju konvergens dengan pertumbuhan tahun ke tahun jumlah
pelanggan jalur lebar tetap sebanyak 11.9% kepada 2.44 juta, mencatatkan pertambahan bersih pelanggan jalur lebar tetap untuk suku tahun yang tertinggi iaitu sebanyak 110,000 dipacu oleh pertumbuhan jumlah pelanggan unifi.
Ketika PKP sejak 2020, ia telah meningkatkan permintaan terhadap jalur lebar tetap, unifi berjaya merebut permintaan ini dengan penawarankonvergens unifi yang menarik di bawah kempen #unifiyourworld, memberikan nilai pelanggan terbaik bagi jalur lebar, mudah alih dan kandungan menerusi unifi Plus Box.
Pertumbuhan ini juga disokong oleh bilangan port dipasang yang lebih tinggi dan pelaksanaan rangkaian fiber yang lebih luas di bawah program Jendela, yang mana TM telah melepasi sasaran suku pertama dengan mencatatkan 141% daripada komitmennya.
Anand berkata, sebanyak 53% akses internet kini adalah menerusi peranti mudah alih dan hanya 30% menerusi komputer.
WiFi pula, katanya, akan terus menjadi akses pilihan untuk rangkaian dalaman sementara 5G adalah untuk akses rangkaian bila berada di luar.
"Berdasarkan data yang ada, penggunaan internet kini lebih cenderung kepada hiburan, sekali gus meningkatkan permintaan untuk jalur lebar yang mencerminkan peningkatan pantas langganan terhadap unifi," tambahnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, TM unifi tv sedang meneroka untuk menjalin kerjasama dengan penyedia perkhidmatan over the top (OTT) untuk menawarkan pelbagai kandungan pada masa hadapan.
Bagaimanapun, katanya, perkara itu akan diumumkan kemudian secara terperinci. - DagangNews.com