TM ONE sedia pacu MyDigital menerusi ‘Cloud α’ | DagangNews Skip to main content

TM ONE sedia pacu MyDigital menerusi ‘Cloud α’

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Telekom Malaysia Berhad (TM) menerusi unit perniagaan perusahaan dan sektor awamnya, TM ONE bersedia untuk memberikan khidmat kepada sektor awam dengan infrastruktur dan perkhidmatan awannya yang menyeluruh, Cloud α (disebut sebagai Cloud Alpha).

 

Ini adalah susulan pelantikan TM sebagai satu-satunya Penyedia Perkhidmatan Awan (Cloud Service Provider - CSP) Malaysia di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) bersama-sama dengan Penyedia Perkhidmatan Terurus (Managed Service Provider – MSP).

 

Mengulas mengenai pelantikan tersebut, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif TM ONE, Ahmad Taufek Omar berkata, pihaknya bersedia untuk memacu transformasi digital sektor awam dengan rangkaian penyelesaian pintar komprehensif mereka yang merangkumi sambungan, awan, pusat data dan keselamatan siber.

 

Ahmad Taufek Omar
Ahmad Taufek Omar

 

“Kami ingin mengucapkan tahniah kepada pihak kerajaan atas rangka tindakan MyDigital yang bersejarah ini. 

 

“Kami sememangnya amat berbesar hati kerana telah dilantik sebagai satu-satunya CSP milikan Malaysia dalam panel MyDigital dan kami mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan kerana meletakkan kepercayaan kepada kami untuk memainkan peranan penting dalam perjalanan transformasi digitalnya, serta keyakinan terhadap kemampuan perkhidmatan awan TM yang sememangnya setanding dengan CSP global lain,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini. 

 

Pengumuman pelantikan tersebut telah dibuat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada majlis pelancaran MyDigital secara maya Jumaat lalu. 

 

TM, melalui TM ONE, memiliki pusat-pusat data teras dan infrastruktur awan tercanggih, dilengkapi dengan keupayaan penyimpanan, penempatan dan kedaulatan data (data residency, locality and sovereignty) sepenuhnya di Malaysia. 

 

Cloud α menampilkan platform pengurusan awan untuk menguruskan pelaksanaan pelbagai awan (multi cloud), yang membolehkan penggabungan dengan infrastruktur awan milik kerajaan serta perkhidmatan awan awam yang lain. 

 

Ia juga merangkumi Perkhidmatan Awan Profesional (Cloud Professional Services) yang komprehensif terdiri daripada perancangan reka bentuk awan, penilaian migrasi serta khidmat nasihat dan perundingan lain untuk memudahkan perjalanan penerimaan awan pelanggan. 

 

Tambah Ahmad Taufek, perkhidmatan awan adalah asas teknologi yang akan membolehkan kerajaan melaksanakan inovasi-inovasi baharu, mencapai kecekapan kos dan meningkatkan penyampaian perkhidmatan awamnya kepada seluruh rakyat Malaysia.

 

“Kami komited untuk melengkapkan dan meningkatkan infrastruktur awan kerajaan dengan TM ONE Cloud α. 

 

“Ia sememangnya amat sesuai untuk menyediakan teknologi dan perkhidmatan yang diperlukan bagi merealisasikan aspirasi MyDigital dan melonjakkan negara kita menuju Negara Digital sepenuhnya menjelang 2030 – dan ke arah masyarakat yang lebih digital, perniagaan digital dan kerajaan digital. 

 

“Ini bertepatan dengan peranan unik Kumpulan TM sebagai pemacu Digital Malaysia,” jelasnya lanjut.

 

TM setakat ini mempunyai tujuh pusat data dengan empat daripadanya diiktiraf sebagai Tier III oleh Uptime Institute yang menyediakan perkhidmatan awan bertaraf dunia, kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber yang maju.  - DagangNews.com