TM pulihkan 85% daripada perkhidmatan yang terjejas akibat banjir | DagangNews Skip to main content

TM pulihkan 85% daripada perkhidmatan yang terjejas akibat banjir

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 30 Dis - Telekom Malaysia Bhd (TM) mengumumkan setakat hari ini, perkhidmatan bagi 85% atau 84,274 daripada pelanggannya yang terjejas akibat banjir telah kembali pulih, hasil usaha menyeluruh oleh pasukan kejuruteraan dan sokongan TM.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar berkata, TM akan meneruskan kerja-kerja giat baikpulih perkhidmatan ini bagi memastikan para pelanggan terjejas yang selebihnya akan kembali terhubung secepat mungkin.

 

"Kami juga telah memperuntukkan RM13 juta bagi menggantikan secara percuma Peralatan Premis Pelanggan (CPE) dan komponen rangkaian yang rosak; pengecualian caj langganan daripada bil pelanggan untuk 2 minggu yang dianggarkan bernilai RM5 juta; dan lanjutan terma kredit selama 60 hari bagi meringankan lagi beban kewangan pelanggan TM yang terjejas," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Tambahnya, di kawasan-kawasan yang terjejas, TM telah membaikpulih sebahagian besar daripada lokasi rangkaian utama yang terkesan. 

 

Ujarnya, bencana banjir tersebut telah menjejaskan lebih daripada 15 lokasi rangkaian dan stesen-stesen bukit di 4 buah negeri, berikutan ketiadaan bekalan elektrik dan di beberapa kawasan, paras air yang tinggi dan keadaan jalan raya yang rosak.

 

"Sebagai sebahagian daripada ikrar oleh ahli-ahli Rangkaian Tindak Balas Bencana GLC/GLIC (GDRN) yang kini berjumlah RM58.4 juta, Lembaga Pengarah TM telah memperuntukkan RM2 juta bagi membantu usaha pemulihan, pembinaan semula dan bantuan banjir. 

 

"Menerusi kolaborasi dengan Yayasan TM, rakan-rakan NGO serta Angkatan Tentera dan Penyelamat Malaysia, kami telah turut mengedarkan lebih 3,500 pek prihatin yang mengandungi masakan panas, bahan makanan kering dan barangan penjagaan kebersihan serta kit ujian kendiri COVID-19 yang disediakan oleh Pharmaniaga di kawasan-kawasan terjejas banjir di Lembah Klang dan Hulu Langat," katanya.

 

Tambah Imri, seramai lebih 260 orang anggota sukarelawan TM yang komited (TM Reaching Out Volunteers – TM ROVers), kini sedang membantu ahli-ahli masyarakat dengan tugas berat membersihkan kediaman mereka pasca banjir, termasuklah 830 orang anggotanya sendiri yang kediaman mereka rosak akibat bencana ini. 

 

"TM akan turut memastikan anggota yang terjejas menerima pampasan berbentuk bantuan kewangan, serta penyediaan tempat perlindungan sementara di kampus MMU.

 

"TM akan terus melaksanakan usaha-usaha bantuan dan pemulihan ke arah kesejahteraan masyarakat. Sebarang perkembangan terkini akan terus kami berikan menerusi saluran-saluran media sosial TM atau layari laman web kami https://unifi.com.my/unifi-alerts untuk maklumat kemaskini," katanya. -DagangNews.com