TM terima tawaran peruntukan spektrum MCMC | DagangNews Skip to main content

TM terima tawaran peruntukan spektrum MCMC

KUALA LUMPUR 14 Feb - Telekom Malaysia Bhd. (TM) menerusi anak syarikatnya, Webe Digital Sdn. Bhd. menerima tawaran daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk peruntukan spektrum bagi 20MHz dalam frekuensi jalur 2,575MHz hingga 2,595MHz. 

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, TM berkata, Webe telah bersetuju dengan bayaran pendahuluan sebanyak RM7.06 juta dan komponen yuran tahunan sebanyak RM5.98 juta untuk dibayar sepanjang tempoh peruntukan ini.

 

Peruntukan spektrum ini adalah bagi tempoh 5 tahun bermula 1 Julai 2022.

 

Webe juga telah mengemukakan penerimaan spektrum ini dan membayar yuran pendahuluan sebanyak RM7.06 juta.

 

Ketua Pegawai Eksekutif TM, Imri Mokhtar berkata, spektrum tersebut memberikan nilai dan manfaat yang besar kepada TM sebagai penyedia konvergens terkemuka. 

 

Katanya, peningkatan kapasiti ini membolehkan TM menyediakan akses tetap dan tanpa wayar yang lancar, dan kandungan kepada pelanggan runcit dan perusahaannya di rumah, pejabat atau semasa bergerak.

 

"Penerimaan spektrum ini juga sejajar dengan hala tuju masa depan kami untuk terlibat dalam ruang digital yang dinamik. 

 

"Dengan infrastruktur gentian kami yang kukuh dan luas, spektrum ini membolehkan pengembangan perkhidmatan telekomunikasi pada masa hadapan kepada pelanggan, untuk pengalaman konvergens hujung ke hujung," katanya. 

 

Pada Jumaat lalu, Celcom Axiata, Maxis dan Digi Telecommunications telah menerima tawaran daripada MCMC untuk peruntukan spektrum ini. - DagangNews.com