TM teruskan agenda Transformasi 'TM Baharu' | DagangNews Skip to main content

TM teruskan agenda Transformasi 'TM Baharu'

Pengerusi TM, Tan Sri Mohd. Bakke Salleh (kanan) bersama Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-36 yang diadakan secara maya hari ini.

 

 

KUALA LUMPUR 25 Mei - Telekom Malaysia Bhd. (TM) akan meneruskan agenda di bawah tranformasi 'TM Baharu' bagi memperkukuhkan kedudukan kumpulan pada masa hadapan. 

 

Pengerusinya, Tan Sri Mohd. Bakke Salleh berkata, di bawah fasa berikutnya, TM akan memberi fokus kepada Kecemerlangan Sambungan, Kecemerlangan Penyelesaian dan Kecemerlangan Pengalaman Pelanggan.

 

“Biarpun berdepan cabaran pasaran dan pandemik, kami kekal berdaya tahan dan mencatatkan peningkatan dalam prestasi 2020, dengan inisiatif-inisiatif pengoptimuman kos kami terus memacu keberuntungan. 

 

"Berasaskan momentum masa kini, kami telah memulakan fasa berikutnya dalam perjalanan kami dengan Program Transformasi ‘TM Baharu’," katanya dalam kenyataan hari ini selepas berakhirnya Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-36 secara maya. 

 

Turut hadir, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar; Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Razidan Ghazalli dan ahli-ahli Lembaga Pengarah TM.

 

AGM itu meluluskan kesemua 12 Resolusi Biasa yang dibentangkan para pemegang sahamnya. 

 

Mesyuarat tersebut yang diadakan secara dalam talian untuk tahun kedua berturut-turut berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP), menyaksikan penyertaan lebih 1,000 pemegang saham.

 

Secara dasarnya, Transformasi ‘TM Baharu’ ini berpaksikan kepada 40+ Program-program Nilai, diterajui oleh Pejabat Transformasi khusus dengan rentak baharu ke arah tempo pelaksanaan lebih pantas, yang kini mula menunjukkan hasil awal. 

 

Pada masa sama, TM juga sedang membentuk tenaga kerjanya menjadi enjin pelaksanaan yang lebih mantap dengan menerapkan budaya kerja yang lebih tangkas serta kemahiran yang bersedia untuk masa hadapan.

 

Mohd. Bakke berkata, agenda itu akan menetapkan TM pada trajektori pertumbuhan yang mapan, bagi mencipta nilai pemegang saham dan terus menggerakkan Digital Malaysia. 

 

"TM, dalam peranannya memacu Digital Malaysia, bersedia untuk menyokong agenda-agenda digitalisasi kerajaan, terutamanya Jalinan Digital Negara (Jendela) dan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia – MyDigital," tambahnya.

 

Menurut beliau, TM berkedudukan baik untuk memainkan peranan penting dalam MyDigital dengan memberi fokus kepada sambungan digital, infrastruktur digital serta set kemahiran dan bakat digital. 

 

Malah, katanya, kumpulan juga telah dilantik sebagai satu-satunya Penyedia Perkhidmatan Awan (CSP) milik Malaysia di bawah MyDigital, setanding dengan pemain-pemain global yang lain. 

 

"Dalam hal ini, TM percaya, kerjasama antara sektor awam dan swasta akan melonjakkan negara, ke arah menjadi Digital Malaysia sepenuhnya menjelang 2030," katanya. - DagangNews.com