TM Wholesale bekerjasama dengan Swarmio Media bekal perkhidmatan platform e-sukan di ASEAN | DagangNews Skip to main content

TM Wholesale bekerjasama dengan Swarmio Media bekal perkhidmatan platform e-sukan di ASEAN

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Mac - Telekom Malaysia Berhad (TM), melalui cabang perniagaan borong domestik dan antarabangsa TM Wholesale menjalinkan kerjasama dengan Swarmio Media Holdings Inc. bagi membekalkan perkhidmatan platform e-sukan di rantau ASEAN dengan pengalaman berkualiti tinggi.

 

Perjanjian itu menyaksikan TM Wholesale akan membekalkan Swarmio dengan akses serta rangkaian luas serta ekosistem infrastruktur untuk membawa Ember iaitu platform e-sukan Swarmio lebih dekat kepada pengguna.

 

Ia juga akan memberi peluang kepada teknologi Swarmio untuk berkembang selain membenarkan pelanggan Ember untuk menikmati pengalaman permainan lebih menarik selain kemudahan muat turun lebih pantas.

 

Kerjasama itu juga memberikan peluang kepada TM Wholesale untuk terlibat secara aktif dalam bidang pemasaran, pengedaran dan jualan Ember kepada rangkaian pelanggan sedia bagi syarikat telekomunikasi utama di seluruh Asia Barat, Asia, Oceania, dan Afrika.

 

Naib Presiden Eksekutif TM Wholesale, Amar Huzaimi Md. Deris berkata, industri e-sukan merupakan antara bentuk hiburan yang paling cepat berkembang dalam tempoh dua tahun ini dan melihat kepada perkembangan ini, mereka teruja untuk menjadi sebahagian daripada perniagaan baharu itu.

 

"Kerjasama ini adalah pencapaian baharu untuk TM Wholesale dengan kami terus mengikut tred digital semasa dan mengembangkan perniagaan kami melebihi teknologi ketersambungan.

 

"Ia melengkapi tawaran ekosistem yang telah kami usahakan bagi penyelesaian kandungan digital yang dikenali sebagai TM Edge," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Swarmio Media, Vijai Karthigesu berkata, pihaknya sangat berbesar hari untuk bekerjasama dengan TM Wholesale dan memanfaatkan kelebihan mereka untuk meluaskan rangkaian platform syarikat itu di rantau ini.

 

"Kerjasama ini membolehkan kami meningkatkan operasi dengan ketara dan menyediakan perkhidmatan e-sukan berkualiti tinggi kepada syarikat telekomunikasi di seluruh ASEAN.

 

"Kami yakin bahawa jalinan kerjasama ini akan menjadi perkongsian yang berkesan dan menguntungkan pada tahun-tahun akan datang," katanya. - DagangNews.com