TMpoint Kajang catat 1 kes positif COVID-19 | DagangNews Skip to main content

TMpoint Kajang catat 1 kes positif COVID-19

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 15 Dis. - Telekom Malaysia Berhad (TM) mengesahkan satu kes positif COVID-19 baharu dalam kalangan anggota di TMpoint Kajang pada 13 Disember 2020. 

 

Anggota berkenaan bagaimanapun sedang menjalani rawatan di sebuah hospital kerajaan.

 

TM berkata, berikutan kes tersebut, pihaknya telah mengambil tindakan segera dengan menutup TMpoint Kajang sehingga 27 Disember 2020 untuk sanitasi dan nyahkuman berdasarkan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

 

"Cawangan TMpoint yang lain terus beroperasi dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) serta panduan keselamatan tambahan TM bagi memastikan para pelanggan kami terus dilayani. 

 

"Pihak pengurusan dan anggota TM bersama-sama berdoa agar semua yang terkesan dengan pandemik ini segera sembuh," jelas TM dalam satu kenyataan hari ini.

 

Mengulas lanjut, TM memberitahu, pengesanan kontak secara terperinci sedang dijalankan oleh KKM dengan bantuan Pasukan Tindak Balas Krisis (Crisis Response Team – CRT) COVID-19 TM.

 

Langkah tersebut adalah untuk mengenal pasti dan memaklumkan mereka yang telah berhubung rapat dengan anggota yang dikesan positif.

 

Ujar TM lagi, kontak rapat yang telah dikenal pasti sedang dihubungi oleh KKM untuk nasihat dan tindakan selanjutnya.

 

"TM ingin mengingatkan semua pihak agar kekal selamat dengan mengamalkan penjarakan sosial, amalan kebersihan diri dan mematuhi SOP yang telah disarankan oleh pihak kerajaan.

 

"TM ingin menegaskan bahawa syarikat telah dan akan terus mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk memastikan kesihatan dan keselamatan pelanggan, para anggotanya dan masyarakat," jelas TM lagi. - DagangNews.com