TNB bawa semula ‘Aida’ meriahkan Aidilfitri ini | DagangNews Skip to main content

TNB bawa semula ‘Aida’ meriahkan Aidilfitri ini

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 7 Mei - Tenaga Nasional Berhad (TNB) kembali memeriahkan sambutan Aidilfitri dengan filem baharunya bertajuk ‘Hikmah Raya Aida’. 

 

Susulan permintaan ramai, TNB membawakan semula watak Aida yang tidak asing lagi dalam filem raya syarikat utiliti itu. 

 

“Bermula dengan Dugaan Raya Aida pada tahun 2017, Aida kini kembali pada  tahun 2021 untuk memeriahkan lagi sambutan perayaan anda,” jelas TNB dalam satu kenyataan.

 

Tambah TNB, filem berkenaan menekankan betapa pentingnya untuk meluangkan masa bersama keluarga dan mengeratkan hubungan dalam apa jua keadaan. 

 

Sementara itu, Ketua Komunikasi Korporat TNB,  Shukreen Ma mengetengahkan keunikan filem itu, di mana ia menggambarkan cabaran di hadapi rakyat Malaysia ketika ini menerusi watak Aida dan keluarga.

 

Shukreen Ma
Shukreen Ma

 

“Dalam filem ini, kita dapat melihat bagaimana Aida yang terlalu sibuk sebagai seorang usahawan kuih raya sehingga tidak mempunyai masa untuk meluangkan bersama keluarga.  

 

“Uniknya dalam filem ini, kita lihat bagaimana di sebalik pandemik yang melanda, ia  memberikan hikmah buat Aida dan keluarganya, barangkali serupa juga dengan ramai antara  kita dalam menempuhi musim yang mencabar ini.

 

“Di TNB, kami berpandukan kepada matlamat untuk bekerjasama bagi menerangi kehidupan ke arah dunia yang lebih sejahtera. Filem pendek yang sarat dengan nasihat ini menterjemahkan matlamat ini dalam kehidupan kita, dengan menekankan betapa pentingnya meluangkan masa bersama keluarga baik ketika senang, mahupun sukar,” katanya menerusi kenyataan sama. 

 

Tambah Shukreen, filem pendek itu juga mengajar masyarakat mengenai erti kesabaran dalam mengharungi tahun yang serba mencabar serta meyakini terdapatnya hikmah di sebalik setiap ujian yang berlaku. 

 

Filem arahan pengarah berkaliber, Quek Shio Chuan secara keseluruhannya digarap dalam bentuk yang lebih segar dengan menyelitkan unsur-unsur komedi dalam jalan cerita yang sarat emosi. 

 

Filem itu mengikuti perjalanan Aida, di mana pada tahun 2017 dia bermula sebagai penjual kuih raya secara kecil-kecilan, dan kini perniagaan kuih rayanya telah maju. 

 

Dalam kesibukan membina empayar kuih rayanya, dia kerap kali terlepas pandang mengenai keluarga yang memerlukan perhatiannya seterusnya pelbagai usaha yang dilakukan oleh keluarganya dalam percubaan mereka untuk mendekati  Aida. 

 

Namun, ketika dia bersedih mengenai pandemik yang telah mengubah nasib perniagaannya, ibunya berjaya memujuk Aida untuk meluangkan masa membantu keluarga  bagi persiapan raya. 

 

Ini sekaligus telah membuatkan Aida melupakan kesedihannya dan pada  akhirnya dia menyedari setiap ujian yang berlaku ada hikmahnya. 

 

Juga dalam filem ini, Jero watak kucing kegemaran ramai sengaja dihilangkan agar penonton dapat mengikuti kisah Jero beraya bersama keluarganya di media sosial. 

 

Filem ‘Hikmah Raya Aida’ mula ditayangkan di YouTube (www.youtube.com/TENAGAofficial) pada 6 Mei 2021 dan akan disiarkan di stesen TV utama bermula 10 Mei 2021.

 

Sementara itu, penonton juga  boleh mengikuti episod Jero bersama keluarga kucingnya dengan melayari media sosial TNB  (https://www.instagram.com/tenaga_nasional/). - DagangNews.com