KUALA LUMPUR 10 Okt - Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus mengambil langkah mengukuhkan integriti organisasi sesuai dengan komitmennya terhadap Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dengan meningkatkan kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Dato’ Indera Ir. Baharin Din dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada 4 Oktober 2022 yang membolehkan kedua-dua organisasi mengadakan pelbagai aktiviti bersama bagi tempoh lima tahun.
Azam berkata, MoU itu mengukuhkan lagi kerjasama sedia terjalin antara TNB dan SPRM, malah diperluaskan dengan merangkumi perkongsian maklumat dan kepakaran, menambah baik sistem dan prosedur TNB, pelaksanaan operasi pengesanan bersama serta program kesedaran dan latihan.
“Saya amat berharap ia menjadi MoU terbaik dan menjadi contoh kepada kerjasama dan persefahaman yang lain. MoU ini bukan hanya dokumen untuk ditandatangani, sebaliknya disusuli dengan kerjasama berterusan dan aktiviti pengukuhan yang aktif antara SPRM dan TNB,” katanya berucap sebelum menandatangani dokumen tersebut.
Ia dimeterai sempena Hari Integriti TNB di Dewan Serbaguna TNB, Bangsar diikuti acara Ikrar Bebas Rasuah, Penyampaian Watikah Integrity Champions dan Lapel Pin kepada warga kerja serta Pelancaran Buku Prosedur Tatatertib Edisi Ketujuh.
Sambil menyifatkan inisiatif TNB mengadakan hari integriti sendiri sebagai iltizam meningkatkan integriti dan sahsiah diri warga kerja, Azam menegaskan bahawa pemeteraian MoU tidak akan berlaku tanpa tekad dan keazaman kepimpinan TNB mahu menjadikan organisasinya sebagai agensi yang disegani.
“Pelaburan dalam tadbir urus yang baik mungkin agak mahal, tetapi percayalah, pulangan kepada pelaburan ini sudah pasti amat berbaloi. Usaha pengurusan tertinggi TNB meningkatkan integriti ini adalah satu pelaburan yang amat baik dan perlu disanjung,” katanya.
Beliau turut menjanjikan SPRM bersedia berbincang lanjut bagi melakukan pelbagai usaha berkaitan dalam membantu TNB membanteras kegiatan kecurian elektrik oleh sindiket-sindiket perlombongan bitcoin.
Terdahulu, Baharin dalam ucapannya mengambil contoh kerjasama TNB dan SPRM telah dapat mendedahkan kegiatan sindiket berkenaan dan pada masa sama, tiada warga TNB dikesan menerima sogokan dalam operasi penyamaran SPRM menjejak kegiatan tersebut.
“Kerjasama ini membuktikan bahawa SPRM dan TNB mempunyai jalinan hubungan mesra yang erat dan persefahaman serta iltizam yang sama, khususnya ke arah memperkasa dan memperkukuh nilai integriti sesebuah organisasi,” katanya.
Beliau menambah, sebagai Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan organisasi utama dalam menggerakkan kemajuan negara, TNB bertanggungjawab membina sahsiah diri warga kerjanya bagi membendung budaya negatif seperti kes-kes jenayah, rasuah dan sebarang bentuk penyelewengan.
“Kami di TNB cenderung kepada pendekatan mencegah dan mendidik daripada menghukum. Melalui cara ini, kita akan berasa seronok bekerja seterusnya menyumbang secara positif kepada pembangunan syarikat, yang pada akhirnya nanti, hasilnya akan kita kongsi dan nikmati bersama semua anggota kerja, rakyat dan negara. Integriti Dijulang Ketirisan Dibenam,” kata Baharin.
Sepintas lalu, TNB telah pun mengambil pelbagai inisiatif dalam memperteguh integriti, termasuklah melaksanakan pelbagai program seperti bengkel dan latihan, penambahbaikan sistem kerja dan pentadbiran, tindakan penguatkuasaan dan membangunkan budaya kerja terpuji.
Antaranya, memperolehi pensijilan ISO 37001 “Anti Bribery Management System” daripada SIRIM QAS International; membangunkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) yang komprehensif, holistik dan sistematik; membangunkan Integrity Health Index (IHI) bagi mengukur tahap integriti secara objektif dan melatih pegawai di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), SPRM untuk menjadi pegawai integriti bertauliah (CeIO). - DagangNews.com