TNB buat persiapan awal untuk 5 Pusat Pemberian Vaksin Mega baharu | DagangNews Skip to main content

TNB buat persiapan awal untuk 5 Pusat Pemberian Vaksin Mega baharu

 

KUALA LUMPUR 4 Jun - Tenaga Nasional Berhad (TNB) sudah memulakan persiapan awal bagi memastikan bekalan elektrik di lima lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berskala mega yang akan dibuka di Lembah Klang, berada dalam keadaan baik.

 

Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood berkata, sebaik pengumuman dibuat mengenai PPV mega baru-baru ini, TNB telah mengatur beberapa persediaan, antaranya semakan dan pemantauan bagi memastikan sistem bekalan di lima lokasi berkenaan berada dalam keadaan teratur dan berdaya harap.

 

“Bagi lokasi yang mana pepasangan TNB perlu dinaik taraf bagi membolehkan pemantauan dan kawalan bekalan dibuat secara jarak jauh, kerja naik taraf sedang dilaksanakan,” kata beliau dalam kenyataan di sini.

wan nazmy TNB
Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood

 

Pada 30 Mei 2021 Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin mengumumkan pembukaan lima PPV mega mulai 7 Jun. Ia melibatkan tiga di Selangor iaitu Pusat Konvensyen The Mines, Seri Kembangan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam dan Pusat Konvensyen Setia City. Dua lagi PPV mega akan dibuka di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil dan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

 

Wan Nazmy memaklumkan TNB mendapat kerjasama dan sokongan baik daripada KKM dan pihak pengurusan 382 PPV sedia ada, serta lima lagi yang akan dibuka dalam usaha memastikan bekalan elektrik kepada PPV teratur sepanjang program immunisasi.

 

“Kami amat berterima kasih kepada KKM, Jabatan Kerja Raya dan semua pihak lain. Alhamdulillah, sejak pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pada 24 Februari, insiden gangguan bekalan di PPV dan PSV amat minimum dan dapat dipulihkan dengan pantas.

 

“Menjadi keutamaan kami untuk memulihkan bekalan kepada PPV dan 40 PSV (Pusat Simpanan Vaksin) (PSV) jika berlaku gangguan bekalan elektrik. Kami juga sentiasa menyemak status bekalan di PPV dan PSV agar langkah segera dapat diambil bagi mengelakkan gangguan terjadi,” kata Wan Nazmy lagi. - DagangNews.com