KUALA LUMPUR 14 Okt - Tenaga Nasional Bhd. (TNB) menerusi syarikat tujuan khas milik penuhnya, TNB Bukit Selambau Solar Dua Sdn. Bhd. (TBSS2) memperoleh pembiayaan sehingga RM185 juta daripada CIMB Islamic Bank bagi melaksanakan projek Solar Berskala Besar (LSS) ketiganya di Bukit Selambau, Kuala Muda, Kedah.
Projek itu, dengan kapasiti 50MWac (75MWdc), adalah sebahagian daripada program LSS@ Mentari atau LSS4 kerajaan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din berkata, projek LSS merupakan satu langkah ke hadapan bagi mencapai laluan kemampanan dan sasaran alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta memastikan pertumbuhan perniagaan yang berterusan untuk kumpulan.
Katanya, ia akan menyumbang kepada peralihan tenaga dan juga membuka peluang pertumbuhan baharu dan kemampanan jangka panjang TNB serta menjadi pemangkin kepada ekonomi negara.
"TNB menyasarkan untuk mengembangkan keseluruhan portfolio tenaga boleh diperbaharui (RE) kepada 7,000MW menjelang 2030 tidak termasuk hidro berskala besar.
"Sasaran ini sejajar dengan aspirasi TNB untuk mencapai sifar bersih dan tanpa arang batu menjelang 2050," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 19 Ogos 2021, TBSS2 telah menandatangani perjanjian pembelian tenaga (PPA) selama 21 tahun bagi membangunkan kemudahan LSS.
TBSS2 dijangka mencapai operasi komersial menjelang Disember 2023. Ladang solar itu sedang dibangunkan di kawasan seluas 175 ekar, bersebelahan LSS kedua TNB di Bukit Selambau.
LSS pertama TNB terletak di Sepang, Selangor dengan kapasiti 50MWac (78MWdc) telah beroperasi sejak November 2018 manakala LSS kedua di Bukit Selambau dengan 30MWac (45MWdc) pada September 2020 dengan kedua-dua projek tersebut masing-masing diperoleh melalui bidaan LSS1 dan LSS2.
Jumlah pelepasan karbon dioksida yang dikurangkan adalah sehingga kira-kira 85,016.56 tCO2e bersamaan karbon yang diasingkan oleh 2,125,414 pokok setahun, atau dengan membawa 18,318 kenderaan penumpang berkuasa petrol selama setahun.
Sementara itu, Ketua Pegawai Tenaga Baharu TNB, Zarihi Hashim berkata, dengan rekod prestasi yang terbukti dalam menguruskan lebih daripada 600MW aset RE bagi aset solar dan angin dalam pasaran domestik dan antarabangsa, TNB mempunyai keupayaan untuk membangunkan projek solar berskala besar.
"TNB akan terus menyokong sasaran Pelan Hala Tuju Tenaga Diperbaharui Malaysia (MyRER) dan meneroka peluang pelaburan dalam sektor RE Malaysia," katanya.
Portfolio RE TNB ketika ini merangkumi 2844MW di Malaysia dan 993MW di seluruh United Kingdom (UK), Turki dan India yang terdiri daripada aset penjanaan tenaga solar, angin dan hidro. - DagangNews.com