TNB & DHL meterai kerjasama bagi penghantaran lebih mesra alam | DagangNews Skip to main content

TNB & DHL meterai kerjasama bagi penghantaran lebih mesra alam

Ketua Pegawai Runcit TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan dan Julian Neo (kanan) menandatangani MoU TNB dengan DHL berkuatkuasa 10 Jun 2021 bagi tempoh 12 bulan akan datang. - Gambar TNB
 

 

KUALA LUMPUR 20 Jun - Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan DHL Express Malaysia (DHL) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meneroka pembangunan kerangka rantaian bekalan (supply chain) yang lebih mesra alam, di samping mengetengahkan komitmen kedua-dua syarikat terhadap amalan perniagaan yang menyokong kelestarian alam sekitar.

 

MoU ini antara lain akan memfokuskan kepada perkhidmatan penghantaran yang lebih mesra alam dengan pengenalan kenderaan elektrik (EV) dalam kumpulan kenderaan DHL, sekaligus menjadi satu lagi pencapaian baru bagi DHL dalam komitmen logistik pelepasan sifarnya menjelang 2050.

 

MoU ini turut melibatkan kerjasama kedua-dua pihak dalam inisiatif karbon sifar dan pengurangan kos termasuk penggunaan peralatan yang cekap tenaga, sistem pengurusan tenaga bangunan dan panel solar pada bumbung. DHL kini sedang meneliti rantaian bekalan elektrik TNB bagi mengenalpasti peluang untuk penambahbaikan.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, kerjasama ini memanfaatkan kepakaran kolektif TNB dalam pengurusan tenaga, pengauditan tenaga dan solusi tenaga lestari ke arah masa depan yang lebih mampan bagi negara.

 

“Seiring dengan pertambahan penggunaan kenderaan elektrik oleh DHL pada tahun-tahun akan datang, TNB berhasrat untuk menyediakan lebih banyak stesen pengecas EV di fasiliti dan laluan penghantaran DHL,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

TNB memacu kerjasama ini dengan pemasangan infrastruktur pengecas EV di fasiliti dan lokasi strategik sepanjang laluan perkhidmatan DHL. Manakala, DHL Express pula akan melancarkan kumpulan pertama van EV di pusat perkhidmatannya di Kuala Lumpur menjelang awal tahun hadapan.

 

Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei, Julian Neo, berkata, sebagai penyedia penghantaran ekspres terkemuka di dunia, DHL Express komited terhadap peranannya dalam menetapkan penanda aras dalam industri bagi pemeliharaan iklim.

 

Beliau berkata, penggunaan kenderaan elektrik dalam kumpulan kenderaan kami adalah satu daripada beberapa inisiatif kami bagi mengurangkan jejak persekitaran dan memacu operasi kami ke arah penyahkarbonan.

 

“Di Malaysia, kami juga menyediakan perkhidmatan tambahan pelaporan karbon yang membolehkan pelanggan menganalisis dan mengurus jejak pelepasan karbon mereka. Pelanggan juga boleh mendapatkan pengiraan dan pengimbangan pelepasan gas rumah hijau (GHG) yang disahkan bagi sebarang perkhidmatan pengangkutan dan logistik kami menerusi projek-projek pemeliharaan iklim. Menerusi usaha kolektif seperti kerjasama dengan TNB, kami mampu menawarkan nilai jangka masa panjang kepada komuniti di mana kami berkhidmat, di samping mencapai matlamat Kumpulan bagi pelepasan gas rumah hijau sifar menjelang 2050,” ujarnya.

 

Tambah Baharin, menerusi MoU ini, TNB menyokong matlamat kelestarian DHL melalui anak-anak syarikatnya termasuk GSPARX Sdn. Bhd. yang membekalkan sistem panel solar pada bumbung bagi penyelesaian tenaga hijau; Maevi Sdn. Bhd. bagi penyelesaian pengurusan tenaga bangunan dan TNB Energy Services Sdn. Bhd. (TNBES) bagi pengauditan tenaga.

 

“TNB komited untuk menyokong pertumbuhan DHL menerusi kerjasama ini, yang sejajar dengan aspirasi kami untuk menjadi pembekal terunggul bagi solusi tenaga mampan di Malaysia dan antarabangsa. Sebagai pemacu utama peralihan tenaga negara, inisiatif ini juga adalah satu daripada usaha kami dalam mendorong pembangunan ekosistem yang kondusif bagi penggunaan EV yang lebih meluas di Malaysia,” tambah Baharin.

 

Dari aspek penjanaan, TNB kini mengukuhkan kedudukannya dalam bidang sumber tenaga hijau dengan mengguna pakai teknologi baharu RE bagi penjanaan tenaga solar, angin, biojisim (biomass) dan biogas yang menyumbang kepada penjanaan berjumlah 713.2MW.

 

TNB berhasrat untuk meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharunya (RE) kepada 8,300MW menjelang 2025, menerusi inisiatif domestik dan antarabangsanya. Sehingga Mac 2021, kapasiti RE TNB adalah pada 3,402MW. Daripada jumlah itu, 2,736MW adalah penjanaan di Malaysia, manakala 666MW di luar negara.

 

MoU ini adalah sebahagian daripada langkah DHL dalam mengukuhkan portfolionya yang berfokuskan logistik berasaskan EV, sejajar dengan langkah Kumpulan Deutsche Post DHL dalam mempercepatkan proses dekarbonisasi syarikat.

 

Untuk tujuan ini, Kumpulan itu akan melabur EUR7 bilion bagi 10 tahun akan datang untuk mengurangkan pelepasan CO2nya. Ia melibatkan penggunaan lebih banyak kenderaan elektrik dalam kumpulan kenderaannya. - DagangNews.com