TNB dijangka kemuka cadangan Tempoh Kawal Selia 4 pada akhir tahun ini – AmInvestment | DagangNews Skip to main content

TNB dijangka kemuka cadangan Tempoh Kawal Selia 4 pada akhir tahun ini – AmInvestment

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 17 Okt - Tenaga Nasional Berhad dijangka mengemukakan cadangan Tempoh Kawal Selia 4 (RP4) , yang akan berkuat kuasa dari 2025 hingga 2027, pada akhir tahun ini, menurut AmInvestment Bank Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata parameter RP4 seperti tarif asas dan kos purata wajaran modal (WACC) akan diumumkan pada akhir tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24).

 

Terdahulu, di bawah RP3 (2022 hingga 2024), WACC kumpulan itu adalah 7.3%, sama dengan RP2.

 

“Kami percaya bahawa WACC tidak boleh terlalu rendah kerana tiada insentif untuk TNB melabur dalam perbelanjaan modal. Asas aset terkawal TNB dianggarkan berjumlah RM70.8 bilion pada akhir FY24,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Di samping itu, AmInvestment berkata TNB merancang untuk mencapai kapasiti tenaga boleh diperbaharui (RE) sebanyak 14,300MW (megawatt) menjelang 2050 (setakat Jun 2023: 3,922MW).

 

Setakatat ini, kumpulan itu mempunyai tiga projek utama dalam perancangan, iaitu taman solar berskala besar di lima tapak dengan kapasiti 100W setiap satu; solar hidro terapung hibrid di empangan sedia ada dengan jumlah kapasiti 2,500MW dan pembakaran bersama hidrogen dan ammonia di beberapa loji janakuasa TNB.

 

“Pada masa ini, sebahagian besar portfolio TNB terdiri daripada kuasa hidro. Daripada kapasiti RE sebanyak 3,922MW, hidro menyumbang 72.2% manakala solar membentuk 20.3% lagi.

 

“Kuasa angin menyumbang 7.1% lagi kapasiti TNB manakala biojisim dan biogas membentuk baki 0.4%,” tambahnya.

 

Selain itu, TNB dijangka membelanjakan RM35 bilion dalam tempoh lima tahun untuk menaik taraf grid nasional bermula FY25, yang memerlukan penukaran grid kepada yang pintar, di mana teknologi atau sistem akan digunakan untuk mengawal grid.

 

Walaupun perbelanjaan modal yang tinggi sebanyak RM35 bilion untuk menaik taraf grid, AmInvestment menganggap TNB masih mampu mengekalkan pembayaran dividennya sebanyak 30% hingga 60% daripada keuntungan bersih yang kembali normal pada masa hadapan.

 

“Ini disebabkan aliran tunai percuma tahunan TNB yang sihat melebihi 50 sen sesaham. Untuk FY24, kami meramalkan dividen sesaham (DPS) kasar sebanyak 45 sen untuk TNB, yang membayangkan hasil sebanyak 4.5%,” katanya.

 

Firma itu mengekalkan unjuran pendapatan dan saranan ‘beli’ terhadap TNB dengan nilai saksama (FV) tidak berubah sebanyak RM11.50 sesaham.  - DagangNews.com