TNB harungi separuh pertama 2020 penuh cabaran dengan PAT susut 46.7% | DagangNews Skip to main content

TNB harungi separuh pertama 2020 penuh cabaran dengan PAT susut 46.7%

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com


SHAH ALAM 28 Ogos - Keuntungan selepas cukai (PAT) kumpulan Tenaga Nasional Berhad (TNB) susut 46.7% kepada RM1.41 bilion pada Separuh Pertama Tahun Kewangan 2020 (1HFY2020) daripada RM2.65 bilion untuk tempoh sama tahun lalu.

PAT yang lebih rendah ini disebabkan kemelesetan ekonomi berikutan wabak COVID-19 dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), serta tukaran mata wang asing yang tidak stabil.

Pendapatan Kumpulan menyusut 13.7% kepada RM22.55 bilion daripada RM26.12 bilion pada tempoh sama tahun lalu berikutan pulangan yang lebih rendah daripada subsidiari dan Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT) pada keadaan rebat RM520 juta berbanding keadaan surcaj RM1.79 bilion pada separuh sama tahun lalu.

Jualan elektrik untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini yang terkesan berikutan penutupan premis perniagaan ketika PKP menyederhana ke 53,535.7 GWj berbanding 58,521.1 GWj untuk tempoh sama tahun lalu.

Bagaimanapun, permintaan elektrik menunjukkan trend peningkatan dengan permintaan puncak dicatatkan pada 17,484 MW untuk bulan Jun, 17,724 MW bagi Julai dan 18,307 MW bagi Ogos.

“Negara kini menunjukkan tanda-tanda positif untuk pemulihan ekonomi berikutan pembukaan semula sektor industri dan komersil ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), yang turut dicerminkan dengan peningkatan permintaan elektrik,” kata
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
 

TNB
                                                     Amir Hamzah Azizan


“Kami menjangkakan trend peningkatan positif ini akan berterusan dan kekal stabil pada separuh kedua tahun ini,” kata beliau dalam kenyataan media hari ini.

Margin EBITDA meningkat 4.9% tahun ke tahun berikutan pengurangan perbelanjaan operasi sebanyak 19.6% pada separuh pertama 2020 selepas Kumpulan melakukan penyesuaian terhadap keperluan operasi terkini. 

Meskipun berada dalam keadaan mencabar, TNB komited dengan polisi dividennya untuk membayar dividen interim sebanyak RM1.26 bilion kepada pemegang saham, bersamaan 22.0 sen dividen per saham.

Menerajui usaha pemulihan pasca COVID-19
Sebagai menyokong usaha merangsang ekonomi yang dimulakan Kerajaan melalui PRIHATIN, TNB menyumbang RM250 juta daripada RM2.6 bilion yang disalurkan kepada pengguna sebagai diskaun elektrik bagi bulan April-Disember 2020.

Selain itu, TNB turut menyumbang hampir RM28 juta kepada Kementerian Kesihatan dan Kerajaan Negeri bagi pembelian bekalan perubatan dan kelengkapan perlindungan diri bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Prospek Ekonomi
Ekonomi Malaysia menguncup 17.1% pada suku kedua 2020 disebabkan langkah-langkah yang diambil bagi membendung wabak COVID-19, termasuk pendekatan yang mengehadkan aktiviti pembuatan dan penggunaan.

Bagaimanapun, ekonomi Malaysia dijangka beransur pulih pada separuh kedua 2020 selepas kegiatan ekonomi kembali dibuka dan permintaan luar meningkat. Prospek ini berdasarkan peningkatan petunjuk utama seperti perdagangan borong dan runcit, pengeluaran perindustrian, eksport kasar, dan penjanaan elektrik.

Menurut laporan Bank Negara Malaysia (BNM) bertarikh 14 Ogos 2020, ekonomi Malaysia dijangka mencatatkan unjuran pertumbuhan antara -3.5% ke -5.5% pada 2020, sebelum melonjak dengan unjuran pertumbuhan pada kadar 5.5% ke 8.0% pada 2021.

Dalam keadaan yang mencabar ini, Lembaga Pengarah menjangkakan pemulihan prestasi Kumpulan secara beransur-ansur untuk separuh kedua tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, disokong dengan kegiatan perniagaan yang semakin rancak berikutan
pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi Kerajaan di bawah pelan pemulihan ekonomi PENJANA.

Kumpulan mengambil langkah cermat dari segi keperluan operasi dan kewangan bagi memastikan ia kekal kukuh. - DagangNews.com