KUALA LUMPUR 24 Julai - Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan menganjurkan Persidangan Peralihan Tenaga daripada 28 sehingga 29 Ogos 2023, menghimpunkan pakar terkenal dalam pelbagai bidang berkaitan industri tenaga dan kelestarian.
Bakal diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, persidangan dua hari itu akan menjadi platform untuk berkongsi idea dan pandangan, ramalan dan perspektif.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din berkata persidangan tersebut bakal merangsang fikiran peserta dengan menampilkan barisan penceramah ternama, membincangkan topik penting mengenai peralihan tenaga dan berkongsi pandangan berharga dalam mengharungi landskap industri tenaga yang sentiasa berubah.
Menurut beliau, persidangan tersebut akan melibatkan barisan penceramah iaitu Ketua Pegawai Ekonomi dan Pengarah Urusan Kanan, Institut Ekonomi Tenaga Jepun (IEEJ), Ken Koyama; Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga (ST), Datuk Abdul Razib Dawood; Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Octopus Energy Group, Greg Jackson; dan Ketua Pengarah Agensi Tenaga Diperbaharui Antarabangsa (IRENA), Francesco La Camera.
“Bersama-sama dengan kehadiran penceramah lain seperti Naib Presiden Bank Pembangunan Asia, Ashok Lavasa; Naib Presiden Kanan Lux Research, Arij van Berkel; Pengarah Prinsipal Hijjas Kasturi Associates Sdn Bhd, Serina Hijjas; dan Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Jeffrey Cheah, para peserta bakal mendapat manfaat besar daripada perkongsian ilmu dan kerancakan perbincangan pada persidangan berkenaan,” tambah beliau.
Menurut Baharin, persidangan itu akan memperincikan strategi merangkumi polisi-polisi transformasi, peraturan dan insentif kewangan dalam memacu agenda Peralihan Tenaga.
Katanya, peserta boleh memanfaatkan platform ini untuk berhubung dengan rakan teknologi strategik masing-masing dalam menangani komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Persidangan Peralihan Tenaga (ET) akan menghimpunkan pemimpin, pakar, pemain industri, penggubal dasar dan pemimpin komuniti untuk penghuraian mengenai cabaran dalam peralihan tenaga.
Persidangan ini adalah platform perdana Malaysia dalam menghasilkan ilham penyelesaian dan menggalakkan kolaborasi merentas sektor ekonomi dalam menangani peralihan tenaga.
Ia juga akan memaparkan penyelesaian lestari teknologi melalui satu pameran dan sesi menyediakan peluang-peluang padanan bisnes.
Untuk maklumat lanjut mengenai persidangan ini, termasuk pendaftaran dan atur cara penuh, sila layari https://the-etconference.com/. - DagangNews.com