TNB, Kerajaan Pahang meterai perjanjian Skim Hidroelektrik Ulu Jelai | DagangNews Skip to main content

TNB, Kerajaan Pahang meterai perjanjian Skim Hidroelektrik Ulu Jelai

Hidroelektrik Ulu Jelai di Cameron Highlands, Pahang

KUALA LUMPUR 1 Mac - Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Kerajaan Negeri Pahang sepakat menjaga kawasan tadahan air Skim Hidroelektrik Ulu Jelai agar operasi stesen janakuasa terbaharu di Cameron Highlands itu tidak terjejas dengan memastikan keseimbangan ekosistem di kawasan berkenaan terpelihara.

 

Kedua-dua pihak mencapai persetujuan dengan memeterai Perjanjian Skim Hidroelektrik Ulu Jelai yang turut memberi pendapatan kepada Kerajaan Negeri Pahang melalui penggunaan sumber air untuk penjanaan tenaga elektrik.

 

Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, terdapat peruntukan khas dalam perjanjian itu yang memastikan kedua-dua pihak menjaga kawasan tadahan dengan baik supaya dapat mengurangkan hakisan dan pemendapan sepanjang skim hidrolektrik ini beroperasi.

 

“Kewujudan Jawatankuasa Pengurusan Tasik dan Kawasan Tadahan, atau Jawatankuasa Penasihat untuk Stesen Janakuasa Ulu Jelai, hendaklah sentiasa peka dan mengurus serta memulihara kawasan tadahan ini dengan sebaik-baiknya,” katanya berucap di majlis menandatangani perjanjian berkenaan, di Kuala Lumpur semalam.

 

Beliau bersama Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta Pengerusi TNB, Dato’ Sri Hasan Arifin dan kemudiannya menyaksikan acara memeterai perjanjian itu. Ia ditandangani Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din.

 

TNB
Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail (kiri sekali) bersama Datuk Seri Takiyuddin Hassan (tengah) serta Dato’ Sri Hasan Arifin (kanan sekali) menyaksikan pertukaran dokumen Perjanjian Skim Hidroelektrik Ulu Jelai antara Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak (dua dari kiri) dengan Datuk Ir. Baharin Din (dua dari kanan) di Kuala Lumpur pada 28 Februari 2022. - Gambar TNB
 

 

Skim Hidroelektrik Ulu Jelai, yang berada di Mukim Hulu Telom, adalah antara tiga stesen hidroelektrik terbesar di Cameron Highlands yang dibina di bawah tanah demi mendapatkan tekanan air secukupnya supaya boleh menggerakkan turbin untuk menjana tenaga elektrik.

 

Hasan berkata, stesen janakuasa yang siap pada 2016 itu direka bentuk supaya mampu memberikan tindak balas pantas kepada sistem grid terhadap perubahan permintaan, khususnya pada waktu beban puncak dengan kawalan frekuensi kapasiti dua unit penjanaannya yang berjumlah 372 Megawatts.

 

Hassan juga merakamkan penghargaan kepada Dato’ Sri Wan Rosdy dan Datuk Seri Takiyuddin atas kerjasama erat dalam menjayakan pembangunan skim hidroelektrik Ulu Jelai ini.

 

Ulu Jelai

 

 

Sepertimana empangan lain, skim hidroelektrik ini bukan semata-mata menjana tenaga elektrik, bahkan mempunyai fungsi yang lebih luas kepada negeri dan rakyat.

 

Ia juga adalah aset strategik yang berfungsi sebagai tebatan banjir, bekalan air berterusan melalui pelepasan terkawal, seterusnya menjadi sumber bekalan air bersih serta sistem pengairan.

 

Penjanaan secara hidro adalah satu inisiatif ke arah kelestarian tenaga elektrik, yang bermakna TNB dan Negeri Pahang menyokong agenda nasional yang menyasarkan 45% pengurangan intensiti Gas Rumah Hijau (GHG) pada 2030, untuk bersama-sama masyarakat antarabangsa menangani perubahan iklim melalui sasaran rendah karbon.

 

Secara bandingannya, skim Ulu Jelai ini berupaya mengurangkan kira-kira 250,000 tan karbon dioksida setahun dengan mengambil kira pelepasan penjanaan arang batu dan bahan api fosil lain ketika tempoh puncak.

 

Justeru, ia menyumbang kepada plan strategik Hala Tuju Kelestarian TNB, iaitu mengurangkan 50% kapasiti penjanaan arang batu menjelang 2035, seterusnya pelepasan karbon sifar bersih pada 2050.

 

Ulu Jelai

 

Dengan termeterainya perjanjian ini, ia memahatkan satu lagi manifestasi bahawa TNB dan Negeri Pahang sentiasa mempunyai semangat kerjasama yang tinggi untuk kepentingan negara dan kehidupan lebih sejahtera kepada rakyat, Better.Brighter.

 

Ini adalah hasil usaha bersama kedua-dua belah pihak dengan sokongan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli serta Suruhanjaya Tenaga. - DagangNews.com