TNB lancar inisiatif percepat peralihan kepada tenaga hijau, bermula dengan Kapar Energy Venture | DagangNews Skip to main content

TNB lancar inisiatif percepat peralihan kepada tenaga hijau, bermula dengan Kapar Energy Venture

Ir Baharin Din bersama Ketua Pegawai Strategi & Teroka TNB, Datuk Fazlur Rahman Zainuddin pada sesi taklimat kepada media di Kuala Lumpur pada 2 Ogos 2022. - Gambar DagangNews.com
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Tenaga Nasional Berhad (TNB) melancarkan inisiatif mempercepatkan peralihan kepada tenaga hijau, bermula dengan Stesen Kapar Energy Venture (KEV) di Selangor untuk dijana menggunakan hidrogen menjelang tahun 2029.

 

Presiden dan CEO TNB, Datuk Indera Ir Baharin Din berkata, inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha mencapai kelestarian sifar pengeluaran asap menjelang 2050 yang diumumkan syarikat utiliti itu pada tahun lalu, dan usaha berterusan memenuhi sasaran ESG, selain memastikan pertumbuhan berterusan perniagaannya.

 

Katanya, inisiatif ini melangkaui ke seluruh rantaian nilai elektrik, daripada peralihan penjanaan tenaga kepada sumber lebih bersih; meningkatkan Grid Masa Hadapan (GoTF) bagi membolehkan lebih banyak rumusan hijau dan memudahcara penyertaan pengguna di dalam peralihan tenaga, termasuk penggunaan kenderaan elektrik (EV).

 

"Desakan yang semakin meningkat untuk menangani impak perubahan iklim, mendorong TNB untuk mempercepatkan pelan penyahkarbonnya, ke arah mencapai sasaran pengurangan 35% pelepasan karbon dan pengurangan 50% kapasiti penjanaan arang batu menjelang 2025.

 

"TNB berada di barisan hadapan dalam aspek peralihan tenaga bagi negara ini, dan tanggungjawab ini menjadi teras bagi TNB untuk mempercepatkan inisiatif ESG.

 

"Pada masa yang sama, peralihan tenaga yang berjaya juga akan membuka lebih banyak peluang bagi pertumbuhan perniagaan dan kemampanan berjangka panjang TNB, selain melonjak pemangkin baharu ekonomi bagi Malaysia," kata beliau dalam taklimat kepada media di sini hari ini.

 

Dalam aspek peralihan stesen janakuasa, Baharin berkata, beberapa langkah akan dilaksanakan ke atas porfolio TNB Power Generation Sdn Bhd (GenCo), menerusi penamatan loji arang batu terpilih lebih awal daripada rancangan, memperkasa semula loji janakuasa dengan teknologi hijau baharu selain membina perkongsian dengan syarikat-syarikat teknologi terkemuka.

 

Menurutnya, Stesen Kapar dijadual tamat Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) pada 2029 dan proses beralih kepada penjanaan menggunakan hidrogen sudah dimulakan terhadap loji berkuasa 1,400 Megawat (MW) tersebut.

 

"Baru-baru ini, TNB menerima Surat Hasrat (LOI) daripada kerajaan yang membenarkan kami menghidupkan semula loji berkuasa gas 1,400 MW di Paka, Terengganu yang juga akan ditukar kepada penjanaan hidrogen menjelang 2029," ujar beliau.

 

Menjawab satu soalan, Baharin mengakui Petronas adalah satu daripada `rakan teknologi terkemuka tempatan' yang sudah dibawa berbincang mengenai proses peralihan loji-loji janakuasa TNB.

 

"TNB mengunjurkan nilai pasaran tenaga bersih antara RM65 bilion hingga RM80 bilion, kami mahu meraih bahagian besar pasaran iaitu RM40 bilion menjelang 2050.

 

"Menerusi langkah tegas untuk meningkatkan nilai perusahaan dan kedudukan kelestarian, kami juga terbuka dengan kemungkinan untuk penawaran awam permulaan (IPO) GenCo, sekiranya tersedia peluang berbuat demikian," jelas beliau.

 

Perluasan ke luar negara

Baharin berkata, TNB merancang untuk mengembangkan portfolio Tenaga Diperbaharui (RE) terutama di Eropah di mana TNB sudah memiliki aset tenaga solar dan turbin angin di United Kingdom yang dijadikan platform untuk meneroka pasaran tenaga di Perancis, Ireland, Belanda dan Sepanyol.

 

"Kita memiliki kelebihan dalam bida kerana bukan sekadar tampil sebagai pelabur tetapi pemain industri tenaga. Menerusi penerokaan di Eropah, TNB mahu menggunakan pendedahan, pengalaman dan pertukaran ilmu untuk memberi perkhidmatan pula ke rantau Asia Pasifik," jelasnya.

 

Menurutnya, satu daripada strategi TNB ialah memeterai perkongsian strategik bagi mempercepatkan kemasukan ke dalam pasaran dan pembangunan keupayaan bagi menyampaikan kecemerlangan operasi.

 

"TNB menyasarkan untuk meraih lebih 14GW kapasiti RE menjelang tahun 2050 yang diterjemahkan kepada pengelakan CO2 yang dianggarkan sebanyak 6.9 juta Tco2/MWh,'' ujar beliau.

 

Kereta Eletrik (EV)

TNB kata Baharin, akan melabur RM90 juta bagi menyokong ekosistem EV dalam tempoh tiga tahun, menumpu pada 5 bidang termasuk memberi kemahiran baharu bagi industri EV; menukar kenderaan TNB kepada EV; membina prasarana pengecasan EV, menaja pengajian berkaitan EV dan membina pakatan dengan kalangan pemain sektor EV.

 

"Usaha ini bertujuan meningkatkan sudut permintaan dengan mempromosikan penggunaan EV, yang disasar mencecah 500,000 EV di atas jalan raya Malaysia menjelang 2030.

 

"Setengah juta EV itu diterjemahkan kepada 2.318 TWh keperluan pengecasan elektrik, dinilaikan pada RM1.26 bilion," kata beliau sambil menambah, baru-baru ini TNB bekerjasama dengan PLUS untuk membina pusat mengecas di pusat rehat dan rawat sepanjang lebuh raya PLUS bermula September ini. - DagangNews.com