TNB manfaatkan kepakaran Elia bagi mendorong pertumbuhan RE dan peralihan tenaga | DagangNews Skip to main content

TNB manfaatkan kepakaran Elia bagi mendorong pertumbuhan RE dan peralihan tenaga

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Elia Group SA/NV (Elia), satu daripada operator sistem penghantaran terbesar dan bereputasi tinggi di Eropah, untuk kerjasama strategik perkongsian amalan terbaik dan pengetahuan mendalam industri bagi mempercepatkan usaha TNB ke arah RE dan peralihan tenaga.

 

MoU yang ditandatangani 13 Ogos lalu, adalah MoU yang kedua dengan Elia, satu daripada lima pengendali sistem penghantaran terbaik di Eropah. MoU pertama ditandatangani pada September 2017 dan tamat pada September 2020.

  

tnb
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin menandatangani memorandum itu bagi pihak TNB manakala Chris Peeters, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Elia, bagi pihak Elia. MoU itu dimeterai bagi tempoh dua tambah satu tahun (2+1).

 


Elia adalah operator sistem penghantaran yang beroperasi di Belgium dan Jerman yang berkhidmat kepada hampir 30 juta pelanggan. Ia memiliki lebih 19,000 km talian voltan tinggi di Belgium dan Jerman selain memiliki lebih 45,000 megawatt (MW) kapasiti terpasang dalam tenaga boleh baharu.

 

“MoU kedua atau MoU 2.0 ini dimeterai pada waktu yang amat penting selepas TNB melakukan penjajaran semula pertengahan penggal. Ia dilakukan bagi memastikan Kumpulan sentiasa berada pada landasan yang betul untuk menghadapi perubahan pantas dari sudut alam sekitar dan reformasi industri bekalan elektrik negara,” kata Baharin.

 

“TNB akan melabur dalam jumlah yang besar dalam bidang tenaga boleh baharu (RE) dan menetapkan fokus Kumpulan terhadap penjanaan rendah karbon, selaras dengan aspirasi kami untuk menjadi pembekal terunggul solusi tenaga mampan di Malaysia dan antarabangsa.

  

“TNB menerusi Bahagian Grid akan terus memberi keutamaan terhadap pelaburan dalam memodenkan grid kebangsaan agar ia menjadi grid masa hadapan, iaitu grid yang kekal berdaya harap, berdaya tahan terhadap gangguan, pintar dengan teknologi digital serta fleksibel untuk memenuhi keperluan peralihan tenaga negara.

 

“Untuk itu, TNB berharap untuk memanfaatkan kepakaran Elia sebagai satu daripada lima operator sistem penghantaran terbaik di Eropah dengan tahap daya harap 99.999%. Terdapat banyak perkara yang boleh dikongsi oleh Elia, terutamanya bagi mencapai kejayaan dalam peralihan tenaga dari sudut tenaga boleh baharu, memandangkan TNB akan mengintegrasikan sejumlah besar RE di masa hadapan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

baharin din
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin

 


Mou baharu ini dimeterai berdasarkan MoU terdahulu, namun memberi penekanan yang lebih berstruktur terhadap usaha pelaksanaan bagi mendapatkan hasil yang lebih baik, merangkumi lima fokus utama: kecemerlangan operasi, trend masa hadapan bagi syarikat utiliti, kerangka kawal selia, hala tuju baharu operasi sistem, dan usaha sama perniagaan.

 

Kedua-dua pihak akan berkongsi pengetahuan teknikal menerusi laporan tahunan dan kajian, penyelesaian permasalahan, lawatan pembelajaran dan teknikal serta program latihan yang perlu. “Kami percaya semua ini akan memberi manfaat yang ketara buat TNB dan Elia,” tambah Baharin.

 

“Kumpulan Elia dan Tenaga adalah rakan sekutu yang berdepan dengan cabaran serupa,” jelas Peeters. “Kedua-dua entiti ini amat komited terhadap peralihan tenaga dan sedang giat berusaha ke arah mencapai strategi pertumbuhan antarabangsa.

 

“Dengan saling bertukar pengetahuan, kami akan maju ke hadapan untuk mencapai matlamat yang ditetapkan. Oleh itu, adalah bertepatan untuk kami meneruskan kerjasama ini melalui perkongsian amalan terbaik.”

 

TNB dan Elia berkongsi cita-cita yang serupa berhubung dengan pencapaian dari sudut kelestarian dan pertumbuhan aktiviti mereka di peringkat antarabangsa bagi membantu mempercepatkan peralihan tenaga global.

 

Justeru, mereka juga berkongsi kepentingan dan kepakaran dalam bidang kecemerlangan operasi, pendigitalan dan mengutamakan pelanggan. - DagangNews.com