TNB nafi laporan penyenaraian unit jana tenaga | DagangNews Skip to main content

TNB nafi laporan penyenaraian unit jana tenaga

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 12 Nov. - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menafikan dakwaan kumpulan syarikat itu bakal menyenaraikan unit jana tenaga seperti dilaporkan media baru-baru ini. 

“TNB ingin menjelaskan bahawa sejajar pelan transformasi strategik syarikat iaitu ‘Reimagining TNB’, dan berdasarkan kelulusan mandat pemegang ekuiti kami pada Februari 2020, TNB telah melengkapkan penstrukturan semula TNB Power Generation Sdn. Bhd. pada 1 Oktober 2020. 

“Langkah ini bertujuan mengumpulkan semua dan cabang perbadanan di TNB sebagai anak syarikat milik penuh TNB bagi meningkatkan tumpuan, kecekapan dan ketelusan.

“Syarikat tidak mengusahakan kerja asas untuk penyenaraian ketika ini memandangkan kami menumpukan ke arah kecekapan operasi untuk syarikat jana tenaga,” jelas TNB menerusi pengumuman syarikat di Bursa Malaysia bertarikh semalam. 

Bagaimanapun, tambah TNB, pihaknya akan membuat pengumuman sekiranya terdapat perubahan kepada penjelasan tersebut, tertakluk kepada pematuhan pendedahan TNB mengikut Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad (MMLR).

Baca : TNB rancang senaraikan unit jana tenaga

Sebelum ini, menurut laporan Bloomberg yang memetik sumber, TNB berhasrat untuk menyenaraikan unit jana tenaganya di Bursa Malaysia pada tahun hadapan, sebahagian daripada langkah penyusunan semula korporat. 

Bagaimanapun, pertimbangan tersebut masih di peringkat awal dan tiada jaminan urus niaga itu akan diteruskan. 

Susulan itu, MIDF Research melihat pengasingan penyenaraian unit jana tenaga oleh TNB membolehkan dana yang berfokuskan tadbir urus alam sekitar, sosial dan korporat (ESG) memiliki unit penghantaran dan pengagihan elektrik (T&D) syarikat itu. 

Baca : Penyenaraian unit jana tenaga: TNB mampu raih RM77 bilion jumlah penilaian 

Perkara tersebut sekali gus dapat meningkatkan penilaian kumpulan TNB secara keseluruhannya sehingga RM77 bilion.

Syarikat pelaburan negara, Khazanah Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan pemegang ekuiti terbesar TNB. - DagangNews.com