TNB papar video bertema `kebaikan membawa 1,000 makna’ sempena Deepavali | DagangNews Skip to main content

TNB papar video bertema `kebaikan membawa 1,000 makna’ sempena Deepavali

KUALA LUMPUR 2 Nov – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyambut Deepavali dengan ‘Sinar Kebaikan Deepavali’, sebuah filem terbaharunya yang memaparkan mesej kerjasama dan kasih sayang dalam sebuah masyarakat yang membawa cahaya kebahagiaan.

 

Filem ini mengisahkan Samy yang sangat gemar berkebun dan beliau sentiasa memastikan hasil tanamannya dalam keadaan yang segar. 

 

Ini menyebabkan ramai jiran tetangga sering datang untuk meminta dan mengambil hasil tanamannya bagi kegunaan mereka dalam masakan masing-masing.

 

Keadaan ini sekali gus menyebabkan Samy memasang pagar dengan tujuan agar tiada siapa pun yang dapat memasuki kebunnya lagi.

 

Namun begitu, pada satu hari, pagar yang dipasang dikebunnya telah roboh dan menyebabkan hasil tanamannya musnah sama sekali dalam satu kejadian ribut.

 

Ketua Komunikasi Korporat TNB, Shukreen Ma berkata, menerusi filem ini, dapat dilihat bagaimana akhirnya Samy tersenyum riang dan sinar bahagia terpancar di wajahnya tatkala mendapati jirannya berkongsi makanan yang mereka masak dengan hasil tanaman dari kebunnya.

 

Meskipun, pada awalnya beliau berasa terganggu kerana hasil tanamannya sering diambil orang, namun akhirnya beliau menyedari yang kebun kecilnya telah memberikan cahaya dan kegembiraan buat jiran-jirannya.


 

Ketua Komunikasi Korporat TNB, Shukreen Ma
Ketua Komunikasi Korporat TNB, Shukreen Ma

 

“Di TNB, kami sentiasa menerapkan nilai-nilai murni seperti kerjasama dan mengambil berat dengan orang di sekeliling kita, sama ada dalam kalangan pekerja mahupun masyarakat supaya kita boleh hidup dengan aman dan damai, ke arah dunia yang lebih sejahtera, Better World. Brighter Lives.”

 

“Dalam situasi sukar ini, kami ingin memaparkan bagaimana cahaya kebaikan boleh mengeratkan hubungan serta menyinari perayaan Deepavali. Kami meraikan mereka yang menghayati semangat Deepavali dengan menyebarkan cahaya dan kegembiraan untuk menceriakan kehidupan orang di sekeliling kita,” ujarnya lagi.

 

 

TNB
Satu babak dalam video `Sinar Kebaikan Deepavali' terbitan TNB.

 

Menurut Shukreen, filem ini mendapat sentuhan pengarah berkaliber, Quek Shio Chuan turut diselitkan dengan pelbagai aksi, komedi dan drama ini diharap dapat menghiburkan hati para penonton terutamanya bagi yang menyambut perayaan Deepavali.

 

“Sinar Kebaikan Deepavali telah mula bersiaran pada 1 November 2021 di saluran YouTube (www.youtube.com/TENAGAofficial) serta di stesen TV utama bermula 3 November 2021, termasuk iklan cetak di akhbar-akhbar utama,” ujarnya lagi. – DagangNews.com