TNB Remaco jalin kerjasama strategik bersama Al Dhow, GE Vernova bagi selenggara loji janakuasa dan penyulingan air di Kuwait | DagangNews Skip to main content

TNB Remaco jalin kerjasama strategik bersama Al Dhow, GE Vernova bagi selenggara loji janakuasa dan penyulingan air di Kuwait

Pengerusi TNB, Datuk Abdul Razak Abdul Majid (lima dari kanan) bersama Ir. Muhammad Nazri Pazil (lima dari kiri) ketika bertukar dokumen dengan Ketua Pegawai Eksekutif GE Vernova, Joseph Anis (tiga dari kanan) semasa Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP28 UAE), baru-baru ini.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Jan - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi TNB Repair and Maintenance Sdn. Bhd. (TNB Remaco) mengembangkan perniagaan loji janakuasa di Kuwait dengan meraih perjanjian program penyelenggaraan jangka panjang bagi Loji Janakuasa dan Penyulingan Air Shuaiba Utara di Al Ahmadi, Kuwait.

 

TNB dalam satu kenyataan berkata, menerusi usaha sama dengan Al Dhow Engineering, syarikat berpangkalan di Kuwait, mereka menandatangani perjanjian perkhidmatan jangka panjang dengan General Electric Global Services (GE Vernova) bagi menyediakan kerja-kerja penyelenggaraan turbin gas di loji itu, yang dimiliki Kementerian Elektrik, Air dan Tenaga Boleh Baharu (MEWRE) Kuwait. 

 

Katanya, perjanjian itu adalah sebahagian daripada usaha lebih luas MEWRE bagi memodenkan infrastruktur penjanaan tenaga di Kuwait, menyumbang kepada usaha global bagi peralihan tenaga mampan.

 

Syarikat utiliti berkata, menerusi kontrak lima tahun itu, rakan usaha sama itu menyediakan penyelenggaraan menyeluruh terancang dan tidak terancang untuk turbin gas dan alat bantunya di loji berkapasiti 876 MW tersebut. 

 

Pengerusi TNB Remaco, Ir. Muhammad Nazri Pazil berkata, kerjasama strategik itu sejajar dengan komitmen mereka untuk menjadi peneraju dalam kemajuan landskap tenaga global.

 

Katanya, kedua-dua rakan kongsi itu mempunyai kekuatan dan kepakaran masing-masing yang akan memastikan kebolehpercayaan infrastruktur tenaga Kuwait dan menyumbang kepada matlamat lebih luas dalam peralihan tenaga dan kelestarian.

 

“Gabungan perkhidmatan usaha sama TNB Remaco – Al Dhow dan GE dengan keupayaan digital mereka akan membantu menyokong penyelenggaraan dan prestasi jangka panjang untuk Loji Janakuasa dan Penyulingan Air Shuaiba Utara serta memastikan loji kuasa beroperasi pada tahap kebolehpercayaan yang tertinggi. 

 

"Skop kontrak termasuk menaik taraf sistem pembakaran turbin gas dan penyediaan khidmat nasihat teknikal untuk sebarang isu berkaitan loji atau keperluan penambahbaikan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Muhammad Nazri juga menyatakan bahawa TNB Remaco mempunyai empat lagi projek perkhidmatan penyelenggaraan di pelbagai loji janakuasa di Kuwait. 

 

“Kuwait adalah satu daripada pasaran antarabangsa terbesar kami di samping jejak antarabangsa lain termasuk Arab Saudi, Pakistan, Kemboja dan Vietnam," katanya.

 

Beliau menambah, kerjasama itu bukan sahaja akan meningkatkan infrastruktur tenaga Kuwait tetapi juga menetapkan standard untuk amalan mampan di peringkat global. 

 

"Kerjasama antarabangsa, penting untuk kecemerlangan operasi dan amalan terbaik, titik permulaan penting untuk memupuk kerjasama lebih luas dalam membentuk masa depan mampan," katanya. - DagangNews.com