IPOH 16 Jun - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyampaikan agihan zakat pelajaran bernilai RM60,000 kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dalam satu majlis ringkas yang diadakan di sini pagi tadi.
Pengurus Besar Negeri, State Stakeholder Affairs (Perak) Regulatory & Stakeholder Management Division TNB, Dato' Ir Sharuddin Mohd Simin berkata, ini merupakan sumbangan yang pertama kali diadakan antara TNB dan MBI.
"TNB bersama MBI telah menjalinkan kerjasama untuk mengadakan Program Wakallah Zakat Fisabilillah iaitu agihan kepada 60 kakitangan MBI yang mempunyai anak yang masih bersekolah atau menyambung pengajian.
"Setiap seorang kakitangan ini akan menerima sebanyak RM1,000 untuk keperluan perbelanjaan persekolahan dan pengajian anak-anak mereka," ujarnya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Sharuddin menyampaikan sumbangan zakat tersebut bagi pihak TNB kepada Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin yang mewakili MBI.
Sementara itu, Rumaizi mengucapkan terima kasih atas keprihatinan pihak TNB dalam menjalinkan kerjasama tersebut untuk membantu dalam aspek pendidikan.
Katanya, sumbangan zakat ini meringankan beban kakitangan MBI dalam meneruskan kehidupan khususnya menampung kos pembelajaran dan persekolahan anak mereka. - DagangNews.com