TNB siap siaga, sedia gerakkan aset strategik hadapi musim tengkujuh | DagangNews Skip to main content

TNB siap siaga, sedia gerakkan aset strategik hadapi musim tengkujuh

TNB menyediakan 247 set janakuasa mudah alih, 279 unit lori, 38 buah bot, 296 set janakuasa bergerak dan 885 unit kenderaan pacuan empat roda.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 17 Nov - Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersedia menggerakkan aset-aset strategik dan mobiliti warga kerjanya bagi menangani musim tengkujuh yang dijangkakan bermula pada 11 November hingga Mac tahun depan, kata Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagiannya,


 
Menurutnya, bagi persediaan awal menghadapi musim monsun timur laut kali ini, TNB menyediakan 247 set janakuasa mudah alih, 279 unit lori, 38 buah bot, 296 set janakuasa bergerak dan 885 unit kenderaan pacuan empat roda.


 
Di samping itu katanya, warga kerja teknikal TNB yang terlibat dengan tugas-tugas penghentian sementara dan penyambungan serta pemulihan bekalan akan diberikan dengan 108 unit lampu limpah serta 10 unit telefon satelit.


 
"Kami meneruskan pelbagai tindakan seperti peningkatan tapak pencawang dan pemasangan penghadang banjir. 

 

"Penandaan aset juga dilaksanakan untuk memudahkan pemantauan perubahan arah aliran banjir demi meningkatkan pengurusan bencana banjir atau mengurangkan kerosakan pada pepasangan TNB," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Menurut Wan Nazmy, pihaknya sedia untuk membuka bilik gerakan dan menggerakkan pasukan di kawasan yang terjejas sekiranya berlaku banjir. 

 

Katanya, lokasi-lokasi strategik yang tidak mungkin ditenggelami air telah dijadikan tapak sebagai stor sementara, pusat peralatan ujian dan pusat pengagihan kerja.

 

 

tnb
Wan Nazmy Wan Mahmood

 

 

"Petugas bilik gerakan dan barisan hadapan TNB juga berada dalam situasi siap siaga. Kami turut mengenal pasti sistem yang memerlukan keutamaan untuk tindakan penutupan dan pengasingan bekalan," katanya.


 
Selain itu katanya, perancangan awal telah dibuat untuk pergerakan set janakuasa bergerak dan mudah alih ke kawasan-kawasan strategik. 

 

 

tnb

 

 

Beliau berkata, TNB juga mengawasi amaran cuaca melalui melalui Analisa Banjir dan Penilaian Risiko serta mendapatkan maklumat dari Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Portal Bencana Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).


 
Wan Nazmy turut memberi nasihat kepada orang ramai agar berhati-hati semasa menggunakan peralatan elektrik jika premis mereka dinaiki air. 

 

"Mereka dinasihatkan untuk mengelakkan sentuhan terhadap alat elektrik atau suis dengan tangan yang basah dan lembap bagi mengelakkan risiko renjatan elektrik dan mendapatkan khidmat kontraktor pendawaian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga untuk memeriksa pendawaian di premis yang dinaiki air setelah banjir surut," katanya.


 
Tambahnya, pengguna yang mengalami pemutusan bekalan elektrik ketika musim banjir dinasihatkan untuk menghubungi TNB di talian 15454 atau melalui Facebook TNB Careline untuk mendapat bantuan dan tindakan susulan TNB. 

 

Pasukan Bertindak Kecemasan TNB yang beroperasi 24 jam sedia untuk menyambung semula bekalan elektrik yang terputus dengan kadar segera. - DagangNews.com