Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 12 Mac - Ekoran beberapa pelan perubatan Tokio Marine Malaysia tidak termasuk dalam polisi perlindungan COVID-19, pihak syarikat mengambil tindakan untuk menubuhkan sebuah dana bantuan perubatan pandemik berkenaan.
"Dana Bantuan Perubatan Tokio Marine COVID-19" yang bernilai RM 5juta itu bertujuan menyokong inisiatif kerajaan dalam membantu pelanggan mereka ketika waktu yang sukar.
Ketua Pegawai Eksekutif Tokio Marine Life Insurance Malaysia Berhad, Toi See Jong berkata, sejak permulaan pandemik itu, Tokio Marine Malaysia telah ambil inisiatif untuk memberi sokongan kepada para pelanggan, rakan kongsi dan juga masyarakat.
“Dana ini merupakan satu lagi usaha untuk terus memperkukuhkan nilai ‘Good Company' kami dan memandang lebih jauh daripada sekadar keuntungan,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Terdapat dua inisiatif di bawah dana berkenaan iaitu pertama, membantu para pelanggan yang memiliki polisi perubatan persendirian yang tidak merangkumi 'penyakit berjangkit' di mana memerlukan kuarantin di bawah undang-undang.
Inisiatif itu akan membayar semula perbelanjaan perubatan akibat kemasukan ke hospital kerana COVID-19 dengan jumlah sehingga RM5,000 untuk pesakit COVID-19 kumpulan Kategori 3.
Dalam pada itu, bayaran sebanyak RM10,000 untuk pesakit Kategori 4, dan RM20,000 untuk pesakit Kategori 5 sekiranya pemegang polisi dirujuk oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke mana-mana hospital swasta yang ditetapkan oleh kementerian berkenaan di bawah inisiatif tersebut.
Inisiatif kedua adalah Sokongan Vaksinasi COVID-19, yang bertujuan memberi bantuan kepada para pelanggan yang memiliki pelan perubatan persendirian dengan pengecualian klausa 'ubat pencegahan atau rawatan'.
Sekiranya mana-mana pelanggan terpaksa dimasukkan ke hospital disebabkan oleh sebarang kesan serius akibat vaksinasi COVID-19 yang diterima, inisiatif itu akan membayar semula perbelanjaan kemasukan ke hospital sehingga RM 5,000.
Bantuan Perbelanjaan Perubatan COVID-19 itu boleh didapati sehingga 30 Jun 2021, sementara Sokongan Vaksinasi COVID-19 boleh didapati sehingga 31 Disember 2021, atau sehingga tabung RM 5juta telah digunakan sepenuhnya, bergantung kepada yang mana lebih awal.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Tokio Marine Insurans (Malaysia) Berhad, Ng Hang Ming berkata: “Oleh sebab situasi COVID-19 masih belum sembuh sepenuhnya, adalah penting bagi Tokio Marine Malaysia untuk menyediakan para pelanggan dengan solusi dan perlindungan untuk terus kekal selamat.”
Dalam masa sama, Tokio Marine Life Malaysia sedang mengoptimumkan platform-platform digitalnya bagi menyediakan akses yang senang kepada para pelanggan untuk perkhidmatan penting seperti polisi, pembayaran tanpa tunai dan penyerahan tuntutan dalam talian.
Sebahagian daripada pengukuhan digital, syarikat itu juga telah melancarkan 'oneTokio', satu aplikasi mudah alih yang bertujuan memberikan penyelesaian sehenti bagi para pelanggan.
Menerusinya, pelanggan dapat mengakses perincian polisi seperti sejarah tuntutan perubatan, penyataan polisi dan penyata pembayaran premium bagi tujuan pemfailan cukai pendapatan dengan mudah. – DagangNews.com