Tol percuma pada 23 dan 26 Disember ini sempena perayaan Krismas | DagangNews Skip to main content

Tol percuma pada 23 dan 26 Disember ini sempena perayaan Krismas

KUALA LUMPUR 21 Dis - Kerajaan bersetuju untuk memberikan tol percuma selama dua hari kepada para pengguna lebuh raya bagi semua jenis kenderaan bersempena dengan sambutan perayaan Hari Krismas yang akan disambut pada 25 Disember ini.

 

Kementerian Kerja Raya berkata, kementerian melalui mesyuarat bersama dengan syarikat konsesi juga bersetuju dengan pelaksanaan pemberian tol percuma itu pada 23 Disember dan 26 Disember ini.

 

"Pengecualian tol akan diberikan kepada semua jenis kenderaan di semua plaza tol kecuali plaza tol di sempadan negara iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Menurut kementerian, pemberian tol percuma itu diharapkan dapat meringankan beban perjalanan semua rakyat Malaysia yang merancang pulang ke kampung halaman untuk melawat ahli keluarga dan sambutan Hari Krismas atau bercuti bersama-sama keluarga sempena musim cuti sekolah.

 

Katanya, ia juga selari dengan hasrat Kerajaan Perpaduan dalam membantu meringankan beban rakyat yang merentasi kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan.

 

"Pemilihan tarikh ini bertujuan bagi mengelakkan penumpuan trafik pada hari perjalanan pulang ke kampung dan kembali semula ke bandar.

 

"Selain itu, ia juga dapat mengoptimumkan pengoperasian dan penyelarasan logistik tambahan serta keperluan logistik lain yang melibatkan pihak ketiga di sepanjang kawasan hentian sebelah (Lay By) dan kawasan rehat dan rawat (R&R) di lebuh raya," katanya. - DagangNews.com