Top Glove diunjur kembali catat keuntungan pada tahun kewangan 2026, kata Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Top Glove diunjur kembali catat keuntungan pada tahun kewangan 2026, kata Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Okt - Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengunjurkan Top Glove Corporation Berhad hanya kembali mencatat keuntungan pada tahun kewangan 2026 (FY26).

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu akan terus mencatat kerugian bagi FY24 dan FY25 (unjuran kerugian disemak kepada RM64 juta).

 

"Unjuran itu berdasarkan keputusan kewangan FY23, kadar penggunaan kilang yang lebih rendah antara 35% hingga 45% berbanding 40% hingga 54%  bagi FY24 dan FY25 selain kadar tukaran mata wang asing yang tinggi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM463.15 juta bagi 4QFY2, tujuh kali lebih besar daripada kerugian bersih RM63 juta pada 4QFY24.

 

Ini disebabkan oleh kemerosotan nilai muhibah, hartanah, loji dan peralatan berjumlah RM389 juta.

 

Maybank IB berkata, untung sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) teras kumpulan kembali positif pada 4QFY23 hasil kos yang optimum termasuk penstrukturan semula tenaga kerja dan pemberhentian sementara operasi di beberapa kilang serta kos bahan mentah dan gas asli yang lebih rendah.

 

Katanya, jumlah jualan dijangka meningkat dengan invesntori pelanggan hampir habis walaupun terdapat isu kapasiti berlebihan yang berleluasa dalam industri.

 

"Top Glove kekal yakin bahawa purata harga jualan (ASP) meningkat pada suku akan datang dan mengenai aktiviti penyimpanan semula dan kos bahan mentah yang lebih tinggi (nitril lateks)," katanya.

 

Firma penyelidikan itu menyemak naik penarafan Top Glove kepada 'pegang' berbanding 'jual' sebelum ini dengan harga sasaran 77 sen sesaham. - DagangNews.com