Top Glove jejaskan pasaran saham, ringgit mengukuh | DagangNews Skip to main content

Top Glove jejaskan pasaran saham, ringgit mengukuh

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 24 Nov. - Pasaran tempatan ditutup rendah petang ini, susut 19.09 mata kepada 1,578.39 mata. 

 

Indeks FBM KLCI yang susut 1.2% itu bergerak dalam jajaran antara 1,578.39 hingga 1,599.98 mata dengan 8.36 bilion saham diniagakan bernilai RM4.28 bilion. 

 

Malah, ia menyaksikan kaunter rugi lebih banyak berbanding untung pada 1,093 berbanding 250 manakala 321 kaunter tidak berubah. 

 

Menurut Reuters, pasaran saham Malaysia terjejas pada Selasa disebabkan kerugian yang dialami pengeluar sarung tangan getah utama dunia, Top Glove selepas lebih 2,000 pekerjanya positif COVID-19. 

 

Ia juga menyaksikan saham Top Glove susut sehingga 7.5% dalam dagangan awal selepas kerajaan mengumumkan penutupan 28 kilangnya ekoran semakin ramai yang dijangkiti wabak itu. 

 

Ketika ditutup petang ini, saham Top Glove susut 7.48% kepada RM6.80 sesaham dengan nilai pasaran RM59.74 bilion. 

 

Menurut penganalisis, pengeluar sarung tangan getah dan sektor berkaitan getah berdepan tekanan dan menyifatkan 'tiada yang akan mencipta kemenangan pada zaman selepas COVID-19'. 

 

"Malah, ia juga menarik turun indeks apabila ujian vaksin menunjukkan jalan keluar daripada belenggu pandemik ini," katanya. 

 

Bagi pasaran kewangan pula, ringgit ditutup pada RM4.0850/0880 berbanding dolar AS, lebih tinggi daripada penutupan semalam pada RM4.0880/0930. - DagangNews.com