Top Glove sediakan Skim Persaraan Swasta yang lebih baik kepada kakitangannya | DagangNews Skip to main content

Top Glove sediakan Skim Persaraan Swasta yang lebih baik kepada kakitangannya

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Mac - Top Glove Corp Berhad menjalinkan kerjasama bersama beberapa penyedia perkhidmatan kewangan dalam usaha menyediakan Skim Persaraan Swasta (PRS) yang lebih baik untuk kakitangannya.

 

Antara penyedia perkhidmatan kewangan yang terlibat termasuk Manulife Investment Management (M) Berhad, iFAST Capital Sdn. Bhd. dan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn. Bhd.

 

Menerusi skim PRS Manulife itu, Top Glove akan dapat membuat caruman bagi pekerjanya menerusi platform dalam talian bersepadu iFAST dan akan mempunyai akses kepada rangkaian menyeluruh siri PRS Manulife yang terdiri daripada kedua-dua dana PRS konvensional dan patuh Syariah. 

 

Sebagai majikan pilihan kepada lebih 22,000 tenaga kerja, sebahagian daripada usaha melindungi kesejahteraan pekerja adalah dengan memastikan mereka mempunyai persediaan dari segi kewangan semasa bersara kelak.

 

Pengarah Urusannya, Datuk Lee Kim Meow berkata, peluang bagi pertumbuhan peribadi dan profesional serta ganjaran dan imbuhan kompetitif seperti PRS, adalah kunci bagi menarik dan mengekalkan tenaga kerja. 

 

“Kami melihat penawaran PRS, beserta dengan dasar dan inisiatif lain pekerja kami, sejajar dengan tiga daripada Matlamat Pembangunan Kemampanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG), iaitu untuk membasmi kemiskinan di mana-mana sahaja (SDG1), memastikan kehidupan yang sihat dan menggalakkan kesejahteraan bagi semua peringkat usia (SDG3) serta meningkatkan pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan, pekerjaan yang produktif dan baik semua orang (SDG8).

 

“Selain daripada menyediakan persekitaran kerja yang selamat dan sihat kepada pekerja, kami juga mahu memastikan pekerja kami memperoleh pendapatan yang baik dan menerusi PRS, meningkatkan simpanan persaraan mereka, yang akan membolehkan mereka mempunyai kehidupan yang lebih baik dan lebih sihat selepas bersara kelak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Manulife, Jason Chong berkata, pihaknya berbesar hati untuk bekerjasama dengan iFAST dan UOB Kay Hin dalam menyokong usaha Top Glove dalam menawarkan kelebihan yang kompetitif kepada pekerjanya.

 

"Sebagai pembekal penyelesaian persaraan, kami komited menyediakan pelabur dengan penyelesaian pelaburan berbeza yang boleh menjana pulangan yang mampan kepada portfolio persaraan mereka.

 

"Manulife PRS NESTEGG Series Core menawarkan enam dana PRS konvensional dan patuh syariah kepada pelabur," katanya. - DagangNews.com