Toyo Tire tutup kilang Silverstone di Kamunting, Perak Jun depan | DagangNews Skip to main content

Toyo Tire tutup kilang Silverstone di Kamunting, Perak Jun depan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Feb. - Syarikat pengeluar tayar terkemuka dari Jepun, Toyo Tire Corporation bakal menamatkan operasi anak syarikat milik penuhnya di Malaysia, Silverstone Malaysia Berhad pada Jun 2021. 

 

Setelah beberapa persediaan untuk menghentikan pengeluaran tayar dari Silverstone selesai, Toyo Tire seterusnya akan membubarkan kilang yang terletak di Kamunting, Perak itu. 

 

Perkara itu diumumkan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Toyo Tire, Takashi Shimizu dalam sebuah kenyataan yang disiarkan di laman webnya pada 15 Februari lalu. 

 

Menerusi kenyataan itu, keputusan berkenaan dibuat setelah mengambil kira persekitaran operasi, kedudukan kilangnya dalam strategi global Toyo Tire serta kapasiti pengeluarannya. 

 

Untuk rekod, kumpulan syarikat itu juga mempunyai satu lagi kilang di Malaysia iaitu Toyo Tire Malaysia Sdn Bhd. (TTM) di Perak yang mengeluarkan tayar jenama Toyo Tires. 

 

Kilang itu berfungsi sebagai hab global yang membekalkan produk tayar bukan sahaja kepada pasaran Asia Tenggara, malah pasaran lain termasuk Amerika Utara, Eropah dan Jepun. 

 

Menurut kumpulan syarikat itu, pengeluaran beberapa produk jenama Silverstone yang sebelum ini dihasilkan oleh kilang Silverstone akan dialihkan ke TTM di mana pengeluaran dan bekalannya akan diteruskan.

 

Kilang Silverstone menghasilkan tayar bagi kenderaan baharu serta jenamanya sendiri untuk kegunaan pasaran terutamanya pengeluar kenderaan di Malaysia. 

 

Menurut Toyo Tire, prosedur pembubaran dijangka bermula pada 31 Disember 2021 mengikut undang-undang dan peraturan tempatan.

 

Selari dengan ketetapan untuk menghentikan pengeluaran dan membubarkan Silverstone, kumpulan syarikat telah mencatatkan kerugian luar biasa berjumlah 6,270 juta yen dalam hasil kewangan gabungan untuk tahun fiskal yang berakhir pada 31 Disember 2020. 

 

Ini terdiri daripada kerugian susut nilai sebanyak 5,110 juta yen dan kerugian pembubaran anak syarikat dan sekutu sebanyak 1,159 juta yen.

 

Toyo Tire

 

Berdasarkan jadual yang disertakan bersama-sama makluman itu, aset bersih Silverstone menyusut dengan ketara daripada RM475.60 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 kepada RM268.18 juta pada tahun fiskal 2020. 

 

Sementara itu, pendapatan bersih yang disumbangkan kepada syarikat induk juga mencatatkan sekitar -RM52.20 juta pada tahun fiskal 2020 berakhir 31 Disember lalu berbanding pada tahun fiskal 2019 (-RM155.22 juta). - DagangNews.com