TP RM0.47 berdasarkan rekod prestasi Volcano - TA Securities | DagangNews Skip to main content

TP RM0.47 berdasarkan rekod prestasi Volcano - TA Securities

KILANG Volcano yang terletak di Rayong, Thailand.

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Mac - TA Securities meletakkan harga sasaran (TP) Volcano Berhad pada kadar RM0.47 sesaham, berbanding nilai terbitan tawaran awam awal (IPO), RM0.35 sesaham. 

 

“Dengan menetapkan bilangan sasaran nisbah harga kepada perolehan (PE) 12.0x CY22 perolehan sesaham (EPS), kami memperoleh nilai saksama RM0.47 sesaham. 

 

“Ini mengambil kira rekod prestasi terbukti dan portfolio pelanggan yang kukuh oleh kumpulan syarikat, kumpulan pengurusan berpengalaman, prospek pertumbuhan disokong oleh elektrik dan elektronik (E&E) serta pasaran automotif yang kian meningkat selain pelbagai penyelesaian yang ditawarkan. 

 

“Selain itu, kadar hasil hadapan juga berpatutan dengan unjuran kami bagi tahun kewangan 2022 (FY22)/FY23 pada kadar 4.5%/5.3%,” jelas penganalisis TA, Wilson Loo dalam nota kajiannya.

 

Pada 16 Mac lalu, Volcano melancarkan prospektus IPO yang menyasarkan perolehan kasar sebanyak RM8.75 juta.

 

Baca : Volcano lancar prospektus untuk IPO

 

Daripada perolehan tersebut, kumpulan syarikat berhasrat untuk menggunakan RM5.55 juta bagi membeli mesin dan peralatan, sementara sebanyak RM3.20 juta bagi perbelanjaan penyenaraian.

 

Ini menyaksikan IPO Volcano membabitkan 25 juta saham terbitan awam dan tawaran untuk jualan sebanyak RM35 juta saham pada harga terbitan 35 sen sesaham. 

 

Dari segi dividen, Loo mendedahkan Volcano berhasrat untuk membayar sekurang-kurangnya 30% daripada keuntungan selepas cukai (PAT).

 

Pada FY18, FY19, FY20, beliau memberitahu, kumpulan syarikat mengagihkan, masing-masing 58%, 42% dan 92% dividen daripada PAT.

 

“Berdasarkan pembayaran dividen 40%, kami menjangkakan kadar hasil hadapan sebanyak 1.9%, 4.5% dan 5.3%, masing-masing bagi FY21, FY22 dan FY23,” tambah Loo.

 

Lebih 95% hasil Volcano diperoleh dari pasaran luar negara di mana Singapura (44% daripada hasil FY20) dan Thailand (44% daripada hasil FY20) merupakan pasaran utama.

 

Hari ini, operasi kumpulan syarikat itu disokong oleh dua buah kilang yang terletak di Perai, Pulau Pinang dan Rayong di Thailand. 

 

Untuk rekod, hasil dan keuntungan bersih teras Volcano pada FY19, masing-masing menyaksikan kemerosotan sebanyak 4.7% kepada RM55.9 juta dan 30.8% kepada RM5.4juta. 

 

Prestasi sama turut ditonjolkan pada FY20 di mana hasil dan keuntungan bersihnya, masing-masing menyusut 6.0% kepada RM52.2 juta dan 28.9% kepada RM3.8 juta. 

 

Ini disebabkan oleh permintaan yang lebih rendah selain gangguan operasi ekoran pandemik COVID-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP). 

 

Loo menjangkakan keuntungan bersih teras Volcano bagi FY21, FY22 dan FY23 akan meningkat, masing-masing sebanyak 35.8%, 24.3% dan 19.4% kepada RM5.2 juta, RM6.5 juta dan RM7.7 juta.

 

“Kami menjangkakan pertumbuhan jangka pendek akan disokong oleh tiada gangguan ke atas operasi dan pemulihan semula ekonomi. Selain itu, kami juga menjangkakan peningkatan kepada margin dan usaha-usaha lain untuk mengautomasikan proses serta mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh.

 

“Ini terutamanya, kami menjangkakan Volcana bakal melihat permintaan yang melonjak bagi plat nama dan bahagian suntikan plastik yang dibentuk dengan kedua-dua pasaran utamanya, iaitu E&E dan industri automotif bersedia untuk berkembang dalam masa jangka pendek dan sederhana,” kata Loo lanjut. - DagangNews.com