Trafik LPT2 melonjak 65% selepas rentas negeri dibenarkan | DagangNews Skip to main content

Trafik LPT2 melonjak 65% selepas rentas negeri dibenarkan

 

KUALA TERENGGANU 16 Okt – LPT2 mencatatkan peningkatan trafik melebihi 65% semalam, ketika pelanggan lebuh raya mula melakukan perjalanan menuju ke pantai timur untuk hujung minggu ini.

 

Pengurus Perniagaan Rantau, LPT 2 Sdn Bhd., Suhaimi Samat berkata, ramai pelanggan lebuh raya LPT2 mengambil cuti hujung minggu ini untuk bersama orang tersayang atau sekadar untuk menikmati pantai-pantai indah di Terengganu, sebelum tiba musim tengkujuh.

 

"Kami juga mengalu-alukan semua pelanggan lebuh raya untuk singgah di mana-mana R&R untuk berehat selepas perjalanan yang panjang.

 

‘’Kami juga menggalakkan pelanggan lebuh raya untuk menyokong rakan peniaga tempatan kami di lima R&R dan empat hentian sebelah di lebuh raya LPT2 dengan membeli produk tempatan mereka sebagai hadiah untuk dibawa pulang kepada keluarga dan rakan taulan. Selain itu, kemudahan awam lain di R&R seperti stesen minyak, surau dan tandas awam juga dibuka 24 jam sehari," tambah Suhaimi.

 

Pelanggan yang telah lengkap divaksinasi kini boleh dine-in untuk menikmati pelbagai pilihan makanan yang disediakan di R&R LPT2 dan Hentian Sebelah, dengan menunjukkan status Vaksinasi MySejahtera sebelum memesan makanan di kedai F&B yang beroperasi dan akan diberikan tag pelekat hijau sebelum mereka dibenarkan memasuki medan selera untuk menjamu selera.

 

"Di samping itu, bagi mengelakkan kesesakan di R&R dan sekiranya pelanggan khuatir tentang penjarakan fizikal, kami mencadangkan agar mereka beli dan bawa pulang bagi memastikan keselesaan semua," kata Suhaimi.

 

"Pelanggan lebuh raya yang melakukan perjalanan merentas negeri boleh kekal yakin, bahawa setiap R&R di LPT2 dan kemudahan tempat letak kereta sentiasa dibersihkan dan disanitasi sepenuhnya mengikut jadual yang ditetapkan.

 

‘’Setiap surau mempunyai penanda penjarakan sosial untuk menetapkan peraturan penjarakan 1 meter. Penanda jelas dipaparkan di kawasan mencuci wuduk untuk rujukan mudah. Pelanggan digalakkan membawa Sejadah dan Telekung masing-masing bagi memastikan kebersihan diri terjamin," kata Suhaimi.

 

 

lpt
LPT2 menggalakkan pelanggan lebuh raya untuk menyokong rakan peniaga tempatan di 5 R&R dan 4 hentian sebelah di lebuh raya LPT2 dengan membeli produk tempatan.

 

Bergantung kepada saiz dan susun atur setiap surau, poster pemberitahuan had bilangan jemaah yang dibenarkan telah dipasang dengan jelas dan pendaftaran melalui Aplikasi MySejahtera diperlukan untuk tujuan pengesanan kontak.

 

LPT 2 juga menasihatkan pelanggan lebuh raya supaya merancang perjalanan mereka dengan baik dan memastikan kad Touch 'n Go mereka mempunyai baki yang mencukupi untuk memastikan perjalanan yang lebih lancar ketika melalui plaza tol.

 

 

lpt
Walaupun kederaan meningkat tetapi arus trafik adalah lancar di sepanjang LPT2.

 

Untuk maklumat trafik terkini dan mendapatkan bantuan di lebuh raya, pelanggan boleh menghubungi Talian Bantuan LPT2Line di 1800-88-0220. – DagangNews.com