Transformasi Pos Malaysia semakin berkesan, kerugian suku ketiga berkurangan kepada RM36.2 juta | DagangNews Skip to main content

Transformasi Pos Malaysia semakin berkesan, kerugian suku ketiga berkurangan kepada RM36.2 juta

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 21 Nov - Kerugian Pos Malaysia Bhd. bagi suku ketiga semakin mengecil dengan kumpulan terus memberi fokus untuk melaksanakan pelan transformasi, pengurusan kos yang efektif dan menyediakan perkhidmatan terbaik di sebalik persekitaran operasi yang mencabar.

 

Bagi suku berakhir 30 September 2022 itu, penyedia perkhidmatan pos dan kurier ini merekodkan kerugian sebelum cukai (LBT) sebanyak RM36.2 juta, susut 10.5% berbanding RM40.5 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya, meskipun pendapatan susut 8.3% kepada RM492 juta pada suku berkenaan.

 

Untuk tempoh sembilan bulan, Pos Malaysia menyaksikan LBT juga berkurangan sebanyak 68% kepada RM65.9 juta berbanding RM206 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu dengan pendapatan merosot 10.3% kepada RM1.49 bilion.

 

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia, Charles Bewer berkata, pasukan Pos Malaysia telah bekerja keras untuk memastikan kumpulan terus mencatat kemajuan dengan transformasi yang dilaksanakan meskipun berdepan persekitaran makroekonomi yang mencabar di peringkat domestik dan global.

 

"Saya amat berterima kasih kepada pasukan yang luar biasa di Pos Malaysia yang terus memberikan senyuman dalam tempoh ini dan mereka semua telah bekerja keras untuk memastikan kami memberikan tahap perkhidmatan terbaik untuk pos dan bungkusan.

 

"Pos Malaysia akan terus memanfaatkan capaian kami yang tiada tandingannya untuk mengembangkan bahagian pasaran dalam segmen yang betul, serta mengambil tindakan sewajarnya untuk memastikan halangan makroekonomi semasa dapat dikurangkan dengan sebaik-baiknya," jelasnya.

 

Beliau menjangkakan prospek kewangan akan terus mencabar dipengaruhi tekanan makroekonomi yang akan terus menekan pasaran e-dagang pasca pandemik sedia ada.

 

Selain itu, katanya, penyumberan dalam yang dipercepatkan oleh pasaran e-dagang, amalan penetapan harga yang agresif dan 'masking' terus memberi tekanan kepada volum bungkusan, bukan sahaja untuk Pos Malaysia tetapi untuk semua peserta kurier dan logistik di negara ini.

 

"Namun, kami tetap komited dengan tujuan kami untuk membina kepercayaan dalam menghubungkan kehidupan dan perniagaan untuk hari esok yang lebih baik," katanya. - DagangNews.com