Tremendous Cafe mahu lebar sayap ke seluruh negara secara francais | DagangNews Skip to main content

Tremendous Cafe mahu lebar sayap ke seluruh negara secara francais

Pelanggan menjamu selera di Tremendous Cafe di Limbang, Sarawak.
Oleh WAN RAZMAN JURAIMI

LIMBANG 31 Mei - Tremendous Cafe yang memasarkan aneka pilihan cendol bercadang melebarkan sayap ke seluruh negara melalui konsep francais, sekali gus memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat menceburi bidang perniagaan itu.

 

Tremendous Cafe yang berpangkalan di Limbang, Sarawak, setakat ini sudah mempunyai dua cawangan iaitu cawangan pertama di daerah Limbang dan cawangan kedua di Miri.

 

Pengasas yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tremendous Global, Mohd Faizal Irman berkata, konsep francais itu kelak membabitkan dua kategori iaitu pertama pembukaan cawangan Tremendous Cafe yang membabitkan anggaran modal sekitar RM250,000 dan RM300,000 di pelbagai lokasi strategik.

 

"Kategori kedua yang kami rancang adalah melalui pengenalan kiosk bergerak yang juga akan disediakan bersama dengan Dapur Berpusat di lokasi yang menjadi tumpuan ramai.

 

"Konsep kiosk bergerak ini sebenarnya sudah dilaksanakan di beberapa tempat di Limbang dan Miri yang dikendalikan oleh kakitangan kami sepenuhnya demi menjaga kualiti cendol Tremendous Cafe," ujar Mohd Faizal kepada DagangNews di sini.

 

 

tremendous
Mohd Faizal Irman bersama isteri, Nor Fahimah Hamid mengasaskan Tremendous Cafe

 

 

Beliau turut berhasrat untuk melebarkan sayap perniagaannya ke Semenanjung Malaysia, dengan lokasi pilihan utama di Kuala Lumpur dan Selangor.

 

Bagaimanapun, pihaknya terlebih dahulu akan memberikan fokus konsep francais ini ke seluruh Sarawak, khususnya di bahagian Kuching dan bakal disusuli ke daerah lain.

 

Sehubungan itu, Mohd Faizal dan isteri, Nor Fahimah Hamid, selaku pengasas bersama Tremendous Global Sdn Bhd, mengalu-alukan penyertaan mana-mana pelabur yang berminat dengan projek francais berkenaan.

 

 

tremendous
Premis pertama Tremendous Cafe di Limbang, Sarawak. Premis kedua terletak di bandar Miri.

 

 

"Seperti projek francais lain, kami sudah pastinya wajib memberi keutamaan ke atas penjagaan kualiti semua cendol keluaran kami.

 

"Semua pelabur bagi projek francais Tremendous Cafe bakal menerima kemas kini termasuk laporan perniagaan dari semasa ke semasa.

 

"Ini kerana, pihak Tremendous Cafe akan menguruskan operasi francais sepenuhnya termasuk penyediaan aktiviti pemasaran dengan fokus utama untuk mengekalkan kualiti produk dan jenama agar boleh kekal bertahan di pasaran," ujarnya.

 

tremendous

 

Mengimbas kembali jatuh bangun dalam dunia perniagaan, usahawan muda berusia 34 tahun lulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera Universiti Sains Malaysia (USM) ini berkata beliau memulakan perniagaan bersama isterinya, seorang pendidik pada 2014 secara kecil-kecilan, dengan modal permulaan RM200 dan menggunakan segala kelengkapan yang ada di rumah termasuk milik ibunya. Bermula saat itu, semangatnya untuk berjaya dalam perniagaan semakin membara.

 

“Saya pernah melalui fasa jatuh bangun dalam perniagaan, asbab kurangnya ilmu perniagaan, tidak mahir menguruskan kos dan penetapan harga, tambahan lagi jualan yang semakin merudum selepas musim perayaan menyebabkan kami terpaksa membuat keputusan menutup perniagaan pada 2018," jelasnya.

 

Bagaimanapun Mohd Faizal berkata keputusan yang diambil pada Oktober 2018 itu adalah mukadimah baharu untuk dirinya sebagai usahawan. 

 

Nekad untuk bangkit semula, beliau menyertai Kursus Keusahawanan di Shah Alam, Selangor anjuran RichWorks International untuk menerima bimbingan daripada Mentor Keusahawanan, Datuk Wira Dr Azizan Osman pada November 2018.

 

Pada 2019, Tremendous Cafe terus menempah nama dan mula menarik perhatian ramai peminat khususnya lebih 14,000 orang pengunjung dari negara jiran, Brunei Darussalam.

 

 

tremendous
Cendol Tremendous Cafe juga ditawarkan kepada usahawan menerusi jualan secara kiosk.

 

 

Penularan COVID-19 pada tahun 2020 di seluruh dunia telah memberi impak kepada banyak perniagaan, termasuklah ke atas perniagaan Tremendous Cafe yang turut terkesan.

 

"Namun kami tidak mengalah, dan nekad untuk terus berkembang. Cawangan kami yang kedua di Miri yang dibuka pada Oktober 2020 masih bertahan hingga ke hari ini walau pun COVID-19 masih belum selesai.

 

"Kami berharap dengan wujudnya konsep francais Tremendous Cafe ini akan terus memberi manfaat kepada kami dan juga kepada para pelabur," ujarnya. -DagangNews.com