KUALA LUMPUR 30 Mei - Trend pemulihan perolehan Malakoff Corporation Berhad yang diraih pada suku pertama dijangka berterusan sepanjang tahun kewangan 2024 (FY24) ekoran impak terhadap margin bahan api kembali reda hasil dorongan daripada kestabilan harga arang batu.
RHB Investment Bank berkata, sumbangan lebih baik daripada Alam Flora juga membolehkan keputusan 1QFY24 yang dicatatkan Malakoff Corp berjaya menepati jangkaan yang ditetapkan dengan perolehan tahunan kembali pulih.
"Malakoff kembali meraih keuntungan YoY dengan perolehan teras sebanyak RM62 juta direkodkan daripada kerugian teras RM76 juta pada 1QFY23.
"Pemulihan dari segi perolehan ini berlaku disebabkan oleh sumbangan semakin baik daripada kilang Tanjung Bin Power (TBP) dan Tanjung Bin Energy (TBE) akibat kos purata arang batu berwajaran rendah sejurus saja harga arang batu dunia mencapai paras stabil dengan kos pembiayaan lebih rendah.
"Dari segi QoQ, perolehan teras jatuh 11% akibat sumbangan lebih rendah daripada Alam Flora dan kesan negatif yang menimpa margin bahan api," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Malakoff bakal catat untung pada FY2024 susulan penurunan harga arang batu - AmInvestment
Malakoff meraih untung bersih RM38.66 juta pada 1QFY24 daripada rugi RM99 juta setahun sebelumnya manakala pendapatan suku tersebut berjumlah sebanyak RM2.28 bilion.
Sementara itu, RHB Investment berkata, memandangkan Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) untuk Loji Tenaga Gas Prai berkapasiti 350MW bakal tamat tempoh pada akhir tahun ini, pihak Malakoff sedang mengadakan perbincangan dengan badan pengawal selia untuk mencari kata sepakat bagi melanjutkan lagi perjanjian berkenaan.
"Baru-baru ini, Malakoff mengemukakan usul untuk mengambil alih 51% pegangan saham dalam ZEC Solar dan 49% pegangan dalam TJZ Suria. ZEC Solar memiliki aset kemudahan Suria Berskala Besar dengan kapasiti 29MW di Kota Tinggi (terikat dengan perjanjian PPA selama 21 tahun dan kontrak O&M sehingga 2040) dengan menawarkan harga penjualan mencecah RM27 juta.
ARTIKEL BERKAITAN: Malakoff tingkatkan kapasiti RE menerusi pengambilaihan ZEC Solar dan TJZ Suria
"Hal ini akan melonjakkan portfolio tenaga boleh baharu bersih Malakoff kepada 168MW. Dalam masa yang sama, kerja-kerja pemasangan dan aktiviti pengujian & pentauliahan bagi sistem pembakaran arang batu bersama 2% biojisim, selesai dijalankan pada 8 Mac 2024.
Nisbah pembakaran arang batu bersama biojisim ini akan meningkat beransur-ansur kepada 3-5% menjelang tahun depan, dengan sasaran sekurangkurangnya 15% sebelum 2027," jelasnya.
Dalam pada itu, kata firma penyelidikan itu, Alam Flora terus menyumbang perolehan stabil mencecah RM21.8 juta (+3% YoY) dan jumlah bahan boleh kitar semula yang berjaya dikutip bertambah sebanyak 18% YoY pada 1Q24.
"Saranan Beli dikekalkan dengan harga sasar (TP) baharu mencecah 86 sen sesaham daripada 77 sen menerusi kaedah DCF, potensi kenaikan harga saham 14% dan kadar hasil dividen kira-kira 7% untuk FY25F.
"Saranan kami dibuat berdasarkan pulangan kadar hasil dividen baik dan perolehan kukuh pada mada hadapan, diperkukuh oleh sumbangan Alam Flora dan kestabilan operasi kilang yang berterusan," katanya yang mengekalkan saranan Beli. - DagangNews.com