TUDM hantar pegawai ke Korea Selatan sebagai persediaan terima pesawat FA-50 Block 20 | DagangNews Skip to main content

TUDM hantar pegawai ke Korea Selatan sebagai persediaan terima pesawat FA-50 Block 20

Pesawat FA-50 sewaktu melakukan pertunjukan udara pada Seoul ADEX 2023.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 23 Okt - Persediaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengoperasikan pesawat tempur ringan dwifungsi (LCA) FA-50 Block 20 telah dirancang termasuk menghantar juruterbang bagi mengikuti latihan ke Korea Selatan.

 

Kumpulan pertama seramai enam pegawai TUDM akan berlepas ke republik tersebut pada bulan hadapan sebelum diikuti kumpulan berikutnya termasuk kru kejuruteraan dan teknikal.

 

Pesawat-pesawat FA-50 Block 20 buatan Korea Aerospace Industries (KAI) ini akan diterima TUDM pada tahun 2026 secara berperingkat-peringkat.

 

FA-50 Block 20 merupakan varian terkini dan paling berkemampuan pesawat FA-50 yang mana Malaysia merupakan pengguna kedua varian ini selepas Poland.

 

Panglima
Mohd. Asghar (kiri) semasa bertemu rakan sejawatannya, Sanghwa.

Perkara tersebut antara yang dibincangkan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan semasa mengadakan lawatan ke Korea Selatan.

 

Beliau menjadi tetamu kenamaan tentera yang dijemput menghadiri Seoul International Aerospace & Defense Exhibition 2023 (Seoul ADEX 2023).

 

Platform Seoul ADEX 2023 dimanfaatkan sepenuhnya oleh beliau semasa melaksanakan kunjungan hormat ke atas Ketua Staf Tentera Udara Republik Korea (ROKAF), Jeneral Jung Sanghwa,

 

Turut dibincangkan adalah kerjasama strategik pertahanan TUDM bersama ROKAF khususnya melibatkan kerjasama industri pesawat FA-50 Block 20 ke arah merealisasikan perolehan pesawat tersebut untuk TUDM. 

 

Jet

 

Panglima
Panglima Tentera Udara semasa melihat lebih dekat pesawat KF-21.

 

Justeru, beberapa syarikat pertahanan tempatan yang berkemahiran dalam bidang penyelenggaraan komponen pesawat bakal terlibat sama dalam program ini.

 

Kontrak perolehan RM4 bilion bagi 18 pesawat FA-50 Block 20 ini dimeterai kerajaan Mei lalu semasa Pameran Aeroangkasa dan Maritim Langkawi (LIMA '23).

 

Malaysia dijangka menambah perolehan ini menjadikan kesemua 36 buah pesawat LCA/FLIT dimiliki sepertimana mengikut pelan strategik CAP 55 TUDM.

 

Sewaktu pertemuan tersebut, Mohd. Asghar Khan turut menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih atas penglibatan pasukan aerobatik ROKAF iaitu Black Eagles semasa LIMA ’23.

 

Pesawat
Aksi aerobatik pasukan Black Eagles.

 

Beliau berharap penyertaan pasukan aerobatik Black Eagles akan diteruskan pada siri Pameran Antarabangsa LIMA yang akan datang. 

 

Selain itu, turut dibincangkan berhubung perancangan bagi kerjasama bilateral kedua angkatan udara TUDM dan ROKAF.

 

Peluang hadir pada Seoul ADEX 2023 turut digunakan Panglima Tentera Udara melihat pertunjukan serta pameran statik pesawat Korea seperti Korean Fighter KF-21 dan pesawat FA-50 LCA.

 

Beliau turut melawat reruai pempamer syarikat industri pertahanan yang turut serta.

 

Aset

 

Aset
Seoul ADEX mempamerkan pelbagai aset-aset pertahanan buatan Korea Selatan.

 

KF-21 yang merupakan pesawat tempur termaju generasi 4.5 sedang dibangunkan KAI bagi menyokong keperluan aset udara masa hadapan Korea Selatan.

 

KAI juga bersedia untuk menawarkan pesawat ini kepada TUDM pada masa hadapan sebagai kesinambungan daripada perolehan pesawat FA-50 Block 20 

 

Pihak KAI yakin KF-21 mampu untuk menggantikan pesawat-pesawat F/A-18D dan Sukhoi Su-30MKM menjelang penggantian dalam tempoh 12 tahun akan datang.

 

Seoul ADEX ialah pameran perdagangan terbesar dan paling komprehensif di Asia Timur yang dianjurkan industri aeroangkasa Korea dan Agensi Penggalakan Pelaburan Perdagangan Korea untuk mempamerkan pelbagai aset-aset dan teknologi meliputi aset tentera darat serta pesawat udara.

 

Ia turut melibatkan kehadiran tetamu dari 55 negara termasuklah Menteri Pertahanan dari sembilan negara serta Panglima Tentera Udara dari 14 negara.- DagangNews.com