TUDM terima 3 pesawat CN235 dinaik taraf bagi rondaan maritim, kos AS$60 juta dibiayai bantuan ketenteraan AS | DagangNews Skip to main content

TUDM terima 3 pesawat CN235 dinaik taraf bagi rondaan maritim, kos AS$60 juta dibiayai bantuan ketenteraan AS

Satu daripada tiga pesawat CN235 yang dinaik taraf sebagai pesawat MSA.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 29 Jun - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) secara rasmi menerima 3 buah pesawat CN235 yang siap dinaiktaraf kepada pesawat tinjauan maritim (MSA).

 

Program naik taraf bernilai AS$60 juta ini dibiayai oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS) di bawah Maritime Security Initiative (MSI).

 

MSI bertujuan untuk memastikan Malaysia dilengkapi dengan kelengkapan yang lebih baik bagi mengawasi persekitaran maritimnya.

 

 

Pesawat-pesawat CN235 tersebut telah dipertingkatkan dengan radar pemantauan maritim, runut infra merah elektro optikal, sistem komunikasi dan stesen operator.

 

Kapal
Duta AS ke Malaysia, Edgard D Kagan menyempurnakan simbolik penyerahan pesawat MSA kepada Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan di Pangkalan Udara Subang.

 

Kesemua pesawat ini telah dinaiktaraf secara berperingkat-peringkat di firma PT Dirgantara, Indonesia.

 

Program naik taraf pesawat CN235 ini juga secara tidak langsung memperkukuhkan kerjasama industri pertahanan antara Malaysia-Indonesia.

 

Pesawat CN235 yang dinaiktaraf ini dioperasikan oleh No.1 Skuadron TUDM yang berpangkalan di Kuching, Sarawak.

 

TUDM mengoperasikan 7 buah pesawat pengangkut taktikal CN-235 yang dibeli dari PT Dirgantara Indonesia pada tahun 1989.

 

Kapal
Pegawai TUDM memberi penerangan tentang peralatan baharu pada pesawat CN235 MSA.

 

Kapal

 

Atas keperluan bagi meningkatkan tinjauan maritim, kerajaan memutuskan untuk menaik taraf 3 daripadanya menjadi pesawat rondaan maritim dengan kos dibiayai oleh AS.

 

Pesawat pertama dihantar ke Indonesia pada September 2020 diikuti pesawat kedua dan ketiga.

 

Ketika ini keupayaan rondaan maritim TUDM bergantung kepada 3 pesawat Beechcraft B200T King Air yang berusia lebih 25 tahun.

 

AS turut membiayai kerajaan Malaysia untuk membeli 6 dron ScanEagle yang dioperasikan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menggunakan geran MSI.

 

Program MSI tersebut bermula pada tahun 2018 dan merupakan geran keselamatan utama yang pertama AS kepada negara ini.

 

Kapal
Kru TUDM bersama pesawat kedua semasa dihantar untuk naik taraf di PT Dirgantara Indonesia pada Oktober 2020.

 

Sepanjang tempoh 2013 hingga 2019, AS telah menyalurkan lebih AS$240 juta bantuan keselamatan kepada Malaysia.

 

Secara umumnya, kerjasama keselamatan AS dan Malaysia merangkumi 11 latihan ketenteraan bilateral dan 5 latihan multilateral. 

 

Kerjasama ini merupakan yang terbanyak dan terbesar untuk Malaysia berbanding negara-negara lain. - DagangNews.com