Tuju Setia raih kontrak RM209 juta bina apartmen servis di Subang Jaya | DagangNews Skip to main content

Tuju Setia raih kontrak RM209 juta bina apartmen servis di Subang Jaya

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 12 Jan - Tuju Setia Berhad telah meraih kontrak berjumlah RM209 juta untuk membina apartmen servis, Alora Residences di Subang Jaya, Selangor.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat pembinaan itu berkata anak syarikatnya, Pembinaan Tuju Setia Sdn Bhd (PTS) menerima surat anugerah (LOA) daripada USJ Citipoint Sdn Bhd, iaitu anak syarikat milik penuh tidak langsung Avaland Berhad (dahulunya dikenali sebagai MCT Berhad).

 

Kontrak terbabit melibatkan pembinaan dan penyiapan Alora Residences di USJ 25 yang merangkumi dua blok apartmen servis, tempat letak kereta podium 10 tingkat, dan ruang kemudahan.

 

Kontrak tersebut adalah untuk tempoh 33 bulan, yang dijadualkan bermula pada suku kedua 2024.

 

“Kontrak tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham dan struktur pegangan saham syarikat.

 

“Kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan Tuju Setia dan aset bersih sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 sehingga kontrak selesai,” katanya.

 

Dalam satu kenyataan berasingan, Tuju Setia berkata Alora Residences merupakan fasa pertama 2Fifth Avenue, pembangunan bersepadu seluas 5.26 hektar dengan nilai pembangunan kasar RM3 bilion.

 

Pengarah Urusan Tuju Setia, Wee Eng Kong berkata kumpulan itu berharap dapat menyumbang kepada pembangunan peringkat awal pelan induk 2Fifth Avenue dan untuk memenuhi objektif bangunan hijau Avaland.

 

"Pembinaan Alora Residences akan membuka pintu untuk Tuju Setia, membolehkan kami berpeluang mengambil lebih banyak projek pembangunan hijau daripada pelanggan baharu dan sedia ada selain dapat mengambil bahagian dalam pembangunan Avaland pada masa hadapan," katanya.

 

 

Wee Eng Kong
Wee Eng Kong

 

 

Mengulas tentang prospek sektor pembinaan, Wee berpendapat bahawa dengan harga bahan binaan yang stabil baru-baru ini, pemaju hartanah lebih cenderung untuk memajukan perbincangan pembidaan untuk projek mereka yang akan datang.

 

"Oleh itu, pandangan positif ini memberi petanda baik bagi kami untuk mendapatkan projek baharu dan meningkatkan pendapatan kami," tambahnya.

 

Saham Tuju Setia ditutup rendah 0.5 sen atau 2.4% pada 20 sen hari ini, menilai permodalan pasarannya sebanyak RM63.4 juta. - DagangNews.com