ALOR SETAR 2 Sept - Kerajaan komited melaksanakan sebanyak tujuh Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dengan peruntukan sebanyak RM1.3 bilion bagi meminimumkan kesan bencana banjir di Kedah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, projek tersebut dilaksanakan di Sungai Pendang, Sungai Kedah/Anak Bukit, Baling, Kuala Pegang dan Bandar Jitra Selatan.
Selain itu katanya, sebanyak RM1.13 bilion melibatkan 109 projek baharu dan sedia ada telah diperuntukkan kerajaan bagi pembangunan sekolah serta institusi pendidikan.
"Sebanyak RM239 juta juga telah diperuntukkan bagi pembinaan rangkaian sistem pembetungan di seluruh negeri Kedah, yang merangkumi 28 loji kumbahan awam dan 16 loji kumbahan di premis kerajaan," katanya ketika berucap merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kedah di pekarangan Stadium Darul Aman di sini, hari ini.
Perdana Menteri berkata, kerajaan sentiasa peka dan prihatin akan kepentingan jalinan jalan raya yang sempurna untuk memudahkan Keluarga Malaysia khususnya di Kedah untuk menjalankan kegiatan harian dengan selamat dan selesa.
"Justeru, bagi kelancaran aliran trafik dan meminimumkan tempoh perjalanan, kerajaan membelanjakan RM425 juta untuk menaik taraf laluan tujuh dari persimpangan Lencongan Barat ke persimpangan Tiga Kemboja, selain memperuntukkan RM526 juta untuk menaikkan taraf jalan persekutuan Gerik/Kupang/Lunas.
"Kerajaan juga akan menggantikan Jambatan Manjalara di Kota Setar yang telah uzur, dengan jambatan baharu bagi memastikan lalu lintas lebih sistematik, untuk kemudahan Keluarga Malaysia.
Selain itu, Ismail Sabri berkata, melihat kepada isu kualiti hidup serta kesejahteraan keluarga miskin tegar dan miskin, kerajaan telah memperkenalkan inisiatif Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dengan menyediakan kediaman yang lebih selesa dan selamat.
"Bagi memenuhi inisiatif ini, sebanyak 844 unit rumah kini dibina dan dibaik pulih di negeri Kedah, melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM15.702 juta yang memanfaatkan lebih 4,220 ahli isi rumah luar bandar," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, bantuan kepada usahawan luar bandar yang terjejas akibat pandemik COVID-19 turut diberi keutamaan.
Katanya, melalui Program Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) Re-Start, seramai 156 orang peserta telah menerima manfaat, dengan nilai kelulusan sebanyak RM780,000.
"Di samping itu, Program Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) patuh syariah, turut menawarkan pembiayaan sehingga RM250,000 kepada usahawan luar bandar, melalui agensi pelaksana Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (BKRM) dan Small Medium Enterprise Development Bank (SME Bank).
"Program Start Right (PSR) @KPLB telah diperkenalkan, untuk memberi peluang kepada belia luar bandar dalam kumpulan B40. Dengan bantuan sebanyak RM10,000 penerima boleh memulakan perniagaan berdasarkan bidang kmahiran masing-masing," katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga cakna dalam meningkatkan fasiliti perubatan dan tahap kesihatan Keluarga Malaysia termasuk di Kedah.
"Di bawah peruntukan RP4, RMK12, kerajaan telah merancang untuk membina sebuah Pusat Kanser Wilayah Utara (PKWU) yang terletak di Sungai Petani," katanya. - DagangNews.com