Tun Zaki Azmi dan isteri pemegang saham utama Pertama Digital dengan 13.8% kepentingan | DagangNews Skip to main content

Tun Zaki Azmi dan isteri pemegang saham utama Pertama Digital dengan 13.8% kepentingan

Tun Zaki Azmi, pengerusi bukan eksekutif bukan bebas Pertama Digital Bhd.

KUALA LUMPUR 2 Sept - Harga saham Pertama Digital Bhd naik 4.62% lagi pada Jumaat, setelah mencatat kenaikan 11% semalam, susulan pengumuman bekas ketua hakim negara Tun Zaki Azmi sebagai pemegang saham utama syarikat tersebut.

 

Kaunter itu mencatat kenaikan 6 sen kepada RM1.36, tertinggi sejak 29 Julai 2010 meletakkan syarikat itu dengan permodalan pasaran RM589.37 juta.

 

Dalam pemakluman di Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata ia telah melantik semula Zaki daripada pengerusi bukan eksekutif bebas kepada pengerusi bukan eksekutif bukan bebas.

 

Pelantikan itu adalah berikutan Zaki menjadi pemegang saham utama Pertama Digital dengan pegangan 11.538% melalui pengambilalihan 50 juta saham oleh kenderaannya Mypay Capital Sdn Bhd untuk RM25 juta.

 

Selain itu, isteri Zaki iaitu Nik Sazlina Mohd Zain membeli lima juta saham pada harga RM2.5 juta, meningkatkan pegangannya kepada 1.154% daripada 1.12% sebelumnya.

 

Kedua-dua transaksi itu berlaku pada 25 Ogos, menurut pemfailan. Berikutan transaksi ini, pasangan itu dianggap mempunyai kepentingan tidak langsung sebanyak 13.813% dalam Pertama Digital.

 

Pemegang saham terbesar kumpulan itu ialah Perfect Hexagon Commodity dengan pegangan 23.04%, menurut data Bloomberg.

 

Pertama Digital mencatatkan kerugian bersih RM24,000 atas hasil RM1.21 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2022. - DagangNews.com