Tune Protect tawar bayaran ihsan RM200 kepada penumpang MYAirline terjejas | DagangNews Skip to main content

Tune Protect tawar bayaran ihsan RM200 kepada penumpang MYAirline terjejas

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 17 Okt - Berikutan penghentian operasi MYAirline baru-baru ini, Tune Protect Malaysia menghulurkan sokongan dengan menawarkan pembayaran ihsan sehingga RM200 setiap seorang kepada penumpang terjejas yang telah membeli Insurans Perjalanan Tune Protect bagi penerbangan MYAirline mereka yang dibatalkan.

 

Pembayaran ihsan ini dikira berdasarkan 50% daripada harga tiket penerbangan, tertakluk kepada maksimum RM200 bagi setiap penumpang.

 

Walaupun penggantungan operasi syarikat penerbangan tidak berada di bawah perlindungan Insurans Perjalanan Tune Protect, syarikat memahami kesulitan dan kerugian akibat insiden yang dikesali bagi penumpang yang terjejas ini. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Tune Protect Malaysia, Jubin Mehta berkata, pihaknya menawarkan bantuan kepada penumpang yang membeli insurans perjalanan mereka yang mungkin terjejas disebabkan isu tersebut bagi menghubungi pihaknya untuk mendapatkan bantuan pembayaran ihsan. 

 

"Walaupun insiden seperti ini biasanya tidak dilindungi oleh syarikat insurans, tetapi kami memahami perasaan pelanggan dan ingin meluaskan sokongan kami di luar tradisi bidang perlindungan insurans," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Tune Protect menetapkan syarat-syarat dan terma pembayaran untuk membantu penumpang MYAirline yang telah membeli Insurans Perjalanan Tune Protect, antaranya perjalanan yang dibatalkan harus dilindungi oleh Insurans Perjalanan Tune Protect dan polisi insurans perjalanan tersebut harus dibeli sebelum 12 Oktober 2023 dan tidak pernah dibatalkan.

 

Selain itu, syarat dan terma itu termasuk tarikh permulaan polisi mestilah dari 12 Oktober 2023 dan seterusnya.

 

Pembayaran ini hanya terpakai untuk tiket penerbangan yang dibeli bersama MYAirlines sebagai syarikat penerbangan yang ditetapkan, sah untuk perjalanan bermula dari 12 Oktober 2023 dan seterusnya.

 

Pembayaran berjumlah sebanyak 50% daripada harga tiket penerbangan, selepas sebarang diskaun, tertakluk kepada had maksimum RM200 bagi setiap penumpang.

 

Penumpang terlibat perlu memastikan semua dokumen yang diperlukan disediakan mengikut keperluan yang dinyatakan dalam borang tuntutan. 

 

Dalam pada itu, penumpang berkenaan perlu memuat turun, melengkapkan, dan menyimpan borang tuntutan PDF yang boleh diubahsuai daripada laman web Tune Protect: https://www.tuneprotect.com/products/travel-easy-insurance/ dan menghantar emel dokumen berikut ke pahealth.claims@tuneprotect.com.

 

Borang tuntutan itu mestilah lengkap, dengan jadual perjalanan daripada MYAirlines (untuk perjalanan yang bermula pada 12 Oktober 2023 dan seterusnya).

 

Selain itu, invois tiket penerbangan yang dibeli dari MYAirlines sebagai syarikat penerbangan yang ditetapkan. Setelah permohonan diterima, ia akan disemak dan sekiranya diluluskan, pembayaran akan dibuat dalam masa tiga hari berkerja dari tarikh kelulusan. - DagangNews.com