Tuntutan ganti rugi lebih RM27 bilion, beri kesan negatif kepada IHH dalam jangka pendek | DagangNews Skip to main content

Tuntutan ganti rugi lebih RM27 bilion, beri kesan negatif kepada IHH dalam jangka pendek

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 6 Jan - Saham IHH Healthcare Bhd. susut dalam dagangan pagi ini berikutan tuntutan ganti rugi melebihi AS$6.5 bilion (RM27 bilion) yang difailkan firma Amerika Syarikat (AS), Emqore Envesecure Private Capital Trust dengan lebih 20 dinamakan defendan dalam tuntutan mahkamah.

 

Jumlah itu adalah pindaan dalam tuntutan mahkamah yang difailkan dana AS itu pada 2020 berkaitan terbitan saham Fortis Healthcare Ltd kepada anak syarikat IHH pada 2018.

 

Tuntutan ganti rugi itu terdiri daripada ganti rugi pampasan ditambah ganti rugi tiga kali ganda dan yuran guaman menurut Akta Pertubuhan Palsu, Dipengaruhi dan Rasuah AS.

 

IHH adalah kumpulan penjagaan kesihatan swasta terbesar di Asia yang menguasai Fortis Healthcare (India) selepas proses bidaan selama berbulan-bulan membabitkan persaingan dengan firma domestik dan antarabangsa.

 

Setakat 10.04 pagi ini, saham IHH susut 9 sen atau 1.31% kepada RM6.77 dengan 598,600 saham diniagakan. 

 

Penganalisis AmInvestment Bank Research, Alan Lim Seong Chun berkata, tuntutan tersebut dilihat sedikit negatif kepada IHH dalam tempoh jangka masa pendek berikutan ketidaktentuan yang timbul hasil daripada keputusan mahkakah. 

 

"Bagaimanapun, sementara menantikan perkembangan seterusnya, kami masih mengekalkan saranan 'pegang' terhadap IHH dengan nilai wajar pada RM6.27.

 

"Prospek pendapatan yang lebih cerah daripada operasi hospital yang lebih tinggi mengimbangi ketidakpastian daripada hasil tuntutan mahkamah ini," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Bagaimanapun, dalam makluman di Bursa Malaysia semalam, IHH berhasrat untuk memfailkan usul bagi menolak aduan pindaan oleh Emqore dan mempunyai alasan kukuh untuk memohon mengetepikan dakwaan itu atas 3 alasan utama, iaitu kekurangan bidang kuasa peribadi, forum non-conveniens dan kegagalan untuk menyatakan tuntutan pelepasan.

 

IHH berhasrat untuk membela diri atas dakwaan ini kerana tidak dapat ditentukan anggaran potensi liabiliti terhadap syarikat daripada saman berikutan saman itu melibatkan 28 defendan yang dinamakan dan 20 'non-party defendant'.

 

Bagaimanapun, penganalisis Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, Sophie Chua Siu Li percaya IHH memiliki alasan yang kukuh untuk menolak tuntutan tersebut. 

 

"Ini kerana kami difahamkan bahawa IHH juga tidak mempunyai pengetahuan tentang cadangan pemerolehan saham, pada masa urus niaga tersebut.

 

"Malah, kami juga tidak membuat sebarang perubahan unjuran buat masa ini, kerana sukar menentukan liabiliti yang timbul daripada tuntutan ini, memandangkan ia melibatkan 48 defenda berbeza," jelasnya.

 

Dengan mengandaikan ganti rugi AS$6.5 bilion dibahagikan sama rata antara 48 defendan, beliau berkata, ia dijangka menjejaskan pendapatan bagi tahun kewangan 2022 (FY22) adalah kira-kira RM135 juta.

 

Oleh itu, setakat ini firma tersebut mengekalkan saranan 'beli' terhadap IHH dengan harga sasaran RM7.51. - DagangNews.com