TVET dijadikan pilihan utama bagi penuhi keperluan industri - PM | DagangNews Skip to main content

TVET dijadikan pilihan utama bagi penuhi keperluan industri - PM

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diiringi Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad (kiri) ketika menghadiri Majlis Anugerah Akademik Negara (AAN) Ke-14 malam ini - Foto BERNAMA

SEPANG 24 Mac - Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan diberikan penekanan penting dan dijadikan sebagai pilihan utama, bukan lagi pilihan kedua untuk pelajar yang tidak berjaya dalam bidang akademik, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Perdana Menteri berkata, daya tarikan serta kualiti penyampaian dan latihan TVET akan dipertingkatkan melalui penambahbaikan akreditasi, pengiktirafan dan pensijilan.

 

Beliau berkata, peranan ahli akademik amat penting bagi menyiapkan Keluarga Malaysia khususnya generasi muda untuk mencapai sasaran negara berpendapatan tinggi pada 2025 seperti mana yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

 

''Justeru, Kerajaan akan memastikan usaha bersepadu akan dilaksana bagi menggalakkan peralihan kepada sistem pendidikan tinggi yang lebih fleksibel dan memenuhi kehendak industri.

 

Langkah ini termasuk mempelbagaikan laluan pendidikan dan latihan, menawarkan program “trans-disciplinary” dan menyusun semula program sedia ada untuk menerapkan pendekatan yang lebih inovatif.

 

''Ia akan membolehkan Institut Pengajian Tinggi (IPT) menawarkan lebih banyak kurikulum yang fleksibel dan dinamik serta boleh dikemas kini dan disesuaikan mengikut permintaan industri. katanya pada Majlis Anugerah Akademik Negara di sebuah hotel di sini, malam ini.

 

Yang turut hadir Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

 

Perdana Menteri berkata, pengajaran dan pembelajaran (PdP) berorientasikan masa hadapan perlu menjadi teras pendidikan tinggi nasional, kerana ketika ini berlaku perubahan drastik dalam proses PdP di semua peringkat pendidikan formal.

 

Malah, beliau berkata, konsep Inisiatif Pembelajaran Masa Depan bukan lagi sesuatu yang aneh di institusi pendidikan tinggi negara ini.

 

"Semakin ramai ahli sarjana Keluarga Malaysia, tidak kira usia dan kepakaran masing-masing sedang meneroka dan mengaplikasikan teknologi pengajaran dan pembelajaran terkehadapan, agar mahasiswa kita tidak ketinggalan dengan arus pemodenan drastik dalam pendidikan tinggi yang melanda dunia.

 

"Dengan cabaran yang dibawa oleh proses revolusi industri, masalah berkaitan pandemik global dan bermacam lagi tembok halangan, institusi pendidikan tinggi tempatan hari ini menjadi medan penentu jatuh atau bangunnya perantis ilmuwan masa hadapan negara," kata Ismail Sabri.

 

Perdana Menteri berkata, IPT juga akan terus digalakkan untuk mempertingkat pendidikan keusahawanan bagi membudayakan nilai keusahawanan dalam kalangan pelajar. - DagangNews.com