NEW YORK 17 Julai - Twitter Incorporation (Twitter) mendedahkan hanya 130 akaun laman media sosial berkenaan yang diserang oleh penggodam baru-baru ini.
Menerusi ciapan Twitter Support, pihaknya kini sedang menyiasat bagi membuktikan sama ada data peribadi pemilik akaun yang digodam terancam.
Jelas Twitter, pihaknya turut mendapatkan kerjasama daripada pemilik akaun terlibat bagi menyelesaikan keadaan itu dengan segera.
“Kami berusaha untuk bertindak lebih agresif bagi menyelamatkan sistem semasa proses penyiasatan masih lagi berjalan.
“Kami tiada bukti sama ada penggodam mempunyai kata laluan akaun pemilik atau pun tidak. Tetapi, kami menyarankan tiada keperluan untuk pengguna menukar kata laluan mereka,” ciap Twitter.
Twitter mengesyaki penggodam berjaya menyerang beberapa akaun menerusi akses sistem dalaman dan alatan pekerjanya.
Sebagai langkah proaktif, Twitter mengehadkan penggunaan kebanyakan akaun pengguna dan menutup sementara akaun yang telah digodam.
Baca : Akaun Twitter Obama, Bill Gates digodam sindiket penipuan mata wang kripto
Sebelum ini, DagangNews.com melaporkan beberapa akaun Twitter berprofil tinggi digodam oleh kumpulan penipuan mata wang kripto, membabitkan akaun bilionair Bill Gates, Jeff Bezos, Elon Musk, Mike Bloomberg, dan Warren Buffett.
Malah akaun bekas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dan Naib Presiden Joe Biden turut digodam.
Penggodam meminta para pengikut pemilik untuk mengirim sejumlah AS$1,000 (RM4,265) dalam bentuk Bitcoin ke alamat khusus menerusi ciapan di akaun itu. - DagangNews.com