TWL meterai perjanjian untuk terlibat bangunkan infrastruktur penjagaan kesihatan swasta | DagangNews Skip to main content

TWL meterai perjanjian untuk terlibat bangunkan infrastruktur penjagaan kesihatan swasta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Mei - TWL Holdings Berhad bercadang untuk mengambil bahagian dalam pembangunan hospital pakar dan infrastruktur lain menerusi pengambilalihan kepentingan dalam dua syarikat swasta.

 

TWL menandatangani memorandum perjanjian dengan Wan Abd Halim Abd Majid dan Mohamad Shohor Mahamud bagi memperoleh 60% pegangan dalam Urban Masterpiece (KMN) Sdn Bhd (UMSB) dan 60% lagi dalam Dunia Sejahtera Sdn Bhd (DSSB).

 

Urban Masterpiece merupakan syarikat swastayang mendapat hak untuk menjadi pemaju hartanah bagi pembangunan hospital swasta yang merangkumi 160 katil dan 20 unit pejabat kedai tiga tingkat di atas petak seluas 2.3 hektar di Terengganu.

 

Sementara itu, Dunia Sejahtera memegang lesen hospital, setelah berjaya memperoleh semua lesen operasi hospital yang diperlukan.

 

Sejumlah 88% ekuiti Urban Masterpiece dikuasai oleh Wan Abd Majid, manakala baki 12% dipegang oleh Mohamad Shohor. Dalam Dunia Sejahtera, setiap daripada mereka memegang 60% kepentingan dalam kumpulan.

 

Pengarah Urusan TWL, Shirley Tan Lee Chin berkata, pengambilalihan strategik itu berfungsi sebagai platform untuk kumpulan mengembangkan peranannya bagi membangunkan infrastruktur penjagaan kesihatan swasta, khususnya hospital.

 

“Cadangan pengambilalihan ini meletakkan kami untuk memanfaatkan pertumbuhan jangka panjang industri penjagaan kesihatan. 

 

"Kedua-dua Urban Masterpiece dan Dunia Sejahtera, masing-masing sebagai pemaju hartanah hospital dan pemegang lesen, akan memacu trajektori pertumbuhan kami,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Kumpulan itu mencatatkan kerugian bersih yang lebih besar sebanyak RM4.64 juta bagi separuh pertama berakhir 31 Disember 2022 (1HFY23) berbanding RM1.25 juta setahun sebelumnya.

 

Kerugian itu disebabkan oleh susut nilai hartanah, loji dan peralatan, perbelanjaan pentadbiran yang lebih tinggi yang ditanggung daripada tempoh berterusan pelaksanaan korporat dan pembayaran berasaskan saham daripada terbitan skim opsyen saham pekerja (ESOS) berjumlah RM5.3 juta.

 

Hasil untuk 1HFY2023 turun kepada RM9.28 juta, daripada RM11.39 juta. - DagangNews.com