U Mobile bakal ‘rampas’ kedudukan 3 syarikat telekomunikasi besar | DagangNews Skip to main content

U Mobile bakal ‘rampas’ kedudukan 3 syarikat telekomunikasi besar

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 9 Dis. - Adakah kedudukan tiga syarikat telekomunikasi besar iaitu Maxis, Celcom dan Digi (Big 3)  dalam industri berkenaan bakal tergugat?

 

CGS-CIMB Research percaya ketiga-tiga pengendali mudah alih itu akan kehilangan hasil syer pasaran kepada U Mobile. 

 

Ini bakal berlaku sekiranya U Mobile terus menunjukkan pertumbuhan hasil yang positif memandangkan tawarannya lebih menarik daripada Big 3 dan apabila dapat meningkatkan jualan kepada pelanggan sedia ada. 

 

U Mobile muncul sebagai pemain industri yang agak rasional dalam pasaran mudah alih, kerana terus memperoleh hasil syer pasaran daripada Big 3 di samping mengelakkan daripada mencetuskan perang harga yang teruk.

 

“Syarikat itu menawarkan harga perkhidmatan mudah alihnya hanya sedikit di bawah Big 3 dan terus berusaha untuk mencari segmen baharu yang belum diteroka atau melancarkan pelan baharu yang belum ditawarkan (atau tidak mahu) di pasaran Big 3,” jelas CGS-CIMB dalam nota kajiannya hari ini. 

 

Jelas CGS-CIMB, U Mobile mula merapatkan jurang rangkaiannya dengan Big 3 sepanjang tiga tahun lalu selepas meletakkan pelaburan rangkaian besar sejak 2017.

 

Berdasarkan keputusan ujian rangkaian Opensignal baru-baru ini, Big 3 menyaksikan kualiti rangkaian yang menurun pada Jun hingga Ogos 2020 kerana pertumbuhan trafik tinggi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

U Mobile sebaliknya menyaksikan kelajuan muat turun 4G dan pengalaman video yang bertambah baik. 

 

“Malah, ia lebih baik daripada Celcom dan menghampiri Digi,” tambah CGS-CIMB.

 

Secara keseluruhannya, firma penyelidikan itu menjangkakan pertumbuhan hasil dalam industri perkhidmatan mudah alih ‘suram’ sebanyak 1.1% memasuk 2021 selepas dijangka merudum 3.4% pada 2020 berbanding tempoh sama tahun lalu. 



“Walaupun kami melihat pemulihan hasil menjelang 2021 daripada impak penutupan kedai pada suku kedua 2020 (2Q20) dan  kemungkinan kemunculan semula hasil perayauan / pekerja migran pada separuh kedua tahun 2021 (2H21), ini mungkin terjejas oleh tekanan persaingan yang berterusan,” ujar CGS-CIMB. 

 

Dalam masa sama, CGS-CIMB percaya kehadiran jalur lebar gentian akan meningkat daripada paras rendah 31% setakat penghujung 2020 kepada 50% hingga 60% pada masa akan datang. 

 

“Penembusan itu akan disokong oleh rancangan Telekom Malaysia Berhad (TM) untuk mempercepat pelancaran gentian dengan 500,000 premis baharu setiap tahun menjelang FY21 hingga FY22, sejajar Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) untuk meningkatkan premis gentian daripada 4.95 juta kepada 7.5 juta atau 9 juta pada penghujung 2022 atau 2025,” tambah CGS-CIMB.


 

Pilihan teratas CGS-CIMB bagi sektor telekomunikasi adalah TM. - DagangNews.com