KUALA LUMPUR 15 Ogos - U Mobile, penyedia perkhidmatan mudah alih menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Berjaya Rail Sdn Bhd bagi menyelesaikan kesalinghubungan 5G bagi mengoptimumkan operasi serta meningkatkan pengalaman perjalanan projek Berjaya Rail.
Matlamat utama kerjasama itu adalah memastikan pengalaman 5G berkualiti tinggi dan konsisten sepanjang perjalanan laluan kereta api dan stesen.
Menerusi MoU itu, kedua-dua pihak akan memanfaatkan kelebihan masing-masing dalam merangkakan strategi bagi meningkatkan perkhidmatan, operasi, dan pengalaman menaiki kereta api dengan menggunakan teknologi 5G.
U Mobile berkata, menerusi MoU itu, syarikat telekomunikasi itu akan berkongsi pengalaman rangkaian mereka manakala, Berjaya Rail pula akan melengkapkan operasi pelaksanaan 5G itu.
MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile, Wong Heang Tuck dan Ketua Pegawai Eksekutif Berjaya Rail, Farizul Baharom.
U Mobile juga akan berkongsi penyelesaian 5G-Advanced yang menggunakan pembelajaran mesin (ML), kecerdasan buatan (AI), dan internet kebendaan (IoT) bagi mencapai kecekapan, ketepatan, dan kebolehpercayaan bagi mengendalikan operasi kereta api masa depan Berjaya Rail.
Tuck, berkata, U Mobile akan memanfaatkan kekuatan 5G dan 5G-Advanced untuk meningkatkan kecekapan dan memperbaiki perkhidmatan pelbagai industri termasuk industri pengangkutan.
“Semasa pesrediaan kami melancarkan rangkaian kedua 5G Malaysia, kerjasama kami dengan Berjaya Rail adalah satu lagi inisiatif yang menggariskan komitmen kami untuk menggalakkan penggunaan 5G bagi pengguna dan perusahaan di seluruh industri,” ujar beliau dalam kenyataaan hari ini.
Di samping itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Berjaya Land Bhd dan Ahli Lembaga Pengarah Berjaya Rail, Syed Ali Shahul Hameed menekankan kerjasama itu mewakili pencapaian penting dalam komitmen untuk mengintegrasikan 5G dalam sebagai penyelesaian rel.
“Dengan bekerjasama dengan U Mobile, kami berhasrat untuk membangunkan dan membolehkan operasi serta penyelenggaraan bersepadu bagi menyediakan pengalaman yang selamat dan menyenangkan untuk penumpang.” - DagangNews.com