Ubahlah persepsi negatif terhadap Ar-Rahnu | DagangNews Skip to main content

Ubahlah persepsi negatif terhadap Ar-Rahnu

 

 

 

Oleh DR RAZLI RAMLI
Penasihat Kewangan Islam

 

Tanggal 18 Mac lalu, cukup setahun Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membasmi wabak COVID-19. 

 

Pandemik ini telah mewujudkan kebimbangan kepada rakyat daripada dijangkiti virus yang boleh membawa maut ini. 

 

Banyak syarikat juga tertekan dan terkesan kerana pekerja mereka mula bimbang untuk keluar bekerja. 

 

Tambahan pula, apabila kerajaan mengambil langkah menghalang warga untuk keluar bekerja dan bersosial. 

 

Kawalan sebegini secara am telah menyebabkan pencatuan perbelanjaan rakyat kepada perkara keperluan sahaja. 

 

Pengawalan ini juga telah memburukkan keadaan ekonomi apabila aktiviti normal ekonomi bertukar daripada ekonomi berasaskan kehendak kepada ekonomi berasaskan keperluan asas. 

 

Sehubungan itu, sebahagian besar kegiatan ekonomi telah terjejas dan berakhir dengan sebahagian rakyat kehilangan pekerjaan dan seterusnya kehilangan sumber pendapatan untuk isi rumah mereka. 

 

Oleh demikian, kelihatan di sana sini kedai-kedai pajak gadai di kota dan pekan mula dikunjungi rakyat terutama orang Melayu untuk mendapatkan tunai bagi menampung perbelanjaan asas mereka. 

 

 

Terdapat lebih 500 cawangan Ar-Rahnu yang beroperasi di seluruh negara, antara yang terbesar adalah Ar-Rahnu Xchange, Ar-Rahnu Yapeim dan juga Ar-Rahnu Pos.
Terdapat lebih 500 cawangan Ar-Rahnu yang beroperasi di seluruh negara, antara yang terbesar adalah Ar-Rahnu Xchange, Ar-Rahnu Yapeim dan juga Ar-Rahnu Pos.

 

 

Untuk makluman, pasaran pajak gadai emas terdiri daripada kedai pajak gadai emas biasa dan pajak gadai emas secara Islam, yang sering dikenali sebagai Ar-Rahnu.

 

Terdapat perbezaan antara konsep pajak gadai emas biasa dan Ar-Rahnu ini. 

 

Motif utama kedai pajak gadai biasa, dari pandangan penulis, adalah berasas kepada perniagaan untuk mendapatkan keuntungan perniagaan hasil dari jualan barang kemas yang dipajakkan kepada mereka. 

 

Ini berlaku apabila para pelanggan gagal menebus barangan kemas mereka. Lagi banyak pelanggan yang gagal menebus barang kemas, lagi banyak lah keuntungan yang bakal mereka dapat.

 

Jika dipandang dari sudut strategi, sasaran utama pelanggan kedai pajak gadai emas biasa adalah golongan mereka yang kesempitan wang dan mempunyai banyak barang kemas. 

 

Malangnya, kebanyakan pelanggan yang sebegitu rupa adalah orang Melayu. 

 

Oleh itu, jika barang kemas mereka gagal ditebus, maka, hasil keseluruhan harga jualan barang kemas yang dilelong/dijual mereka akan menjadi milik kedai pajak gadai tersebut. 

 

Sesen pun tidak dipulangkan kepada pelanggan. Malang sungguh nasib orang Melayu. 

 

Sebab itulah konsep Al-Rahnu diperkenalkan. Motif Ar-Rahnu adalah untuk menyelamatkan pelanggan terutamanya orang Melayu dari terjebak dengan kegiatan kedai pajak gadai emas sebegini. 

 

Tujuan Ar-Rahnu, bukan untuk menindas pelanggan yang kesempitan wang. Tujuan Al-Rahnu adalah untuk membantu golongan yang kesempitan wang serta membantu mendapatkan modal jangka masa pendek untuk berniaga.

 

Menurut sumber dari laman web hargaemas.com.my, kini terdapat lebih 500 cawangan Ar-Rahnu yang beroperasi di seluruh negara, antara yang terbesar adalah Ar-Rahnu Xchange, Ar-Rahnu Yapeim dan juga Ar-Rahnu Pos. 

 

Jumlah urus niaga transaksi emas di Malaysia bernilai hampir RM31 billion dengan anggaran berat 189 tan emas dan pegangan emas semasa di dalam semua kedai Ar-Rahnu hampir 39 tan emas.

 

Sehubungan itu, penulis menyarankan agar seluruh rakyat mengubah persepsi negatif kepada Ar-Rahnu kita. 

 

Sedarlah bahawa konsep Al-Rahnu ini adalah membantu. 

 

Ar-Rahnu adalah tempat untuk orang Melayu meminta bantuan sekiranya kesempitan wang atau hendak berniaga. 

 

Ia dapat menghalang bangsa Melayu dari terjebak dengan kedai pajak gadai emas yang membawa kerugian kepada para pelanggan jika barangan kemas mereka gagal ditebus. 

 

Sokong lah konsep Ar-Rahnu! - DagangNews.com

 

randau industri