UCTC UPM transformasi kawasan terbiar jadi kebun sayur ketika PKP | DagangNews Skip to main content

UCTC UPM transformasi kawasan terbiar jadi kebun sayur ketika PKP


SERDANG 29 Sept – Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Putra Malaysia turut sama membantu Projek Nurseri dan Kebun Bandar Rumah Titian Kaseh, Titiwangsa di Kuala Lumpur khususnya kawasan terbiar menjadi kebun sayur kepada penduduk sekitar.

 

Projek tersebut mula dilaksanakan pada 29 Disember 2020 kira-kira dua minggu sebelum PKP 2.0 diperketatkan, dengan menumpu kepada kawasan Rumah Titian Kaseh (RTK) ini merupakan pusat jagaan anak-anak yatim/piatu, ibu tunggal, OKU dan warga emas.

 

Projek ini dibiayai oleh sekumpulan alumni SDARA85 (batch 1981-1985) dari Sekolah Datuk Abdul Razak, Seremban dan dibantu UCTC UPM yang membantu dari sudut bimbingan, khidmat nasihat dan pemindahan ilmu berkaitan dengan pertanian, selaras dengan motto UPM ‘Berilmu, Berbakti'.

 

Idea ini tercetus apabila Presiden Alumni SDARA85, Mohd Shahrir Ali dan rakan-rakannya telah merancang satu program yang boleh membantu meningkatkan kemahiran anak-anak RTK.

 

Perancangan awal mereka adalah untuk melaksanakan projek pertanian di rumah anak-anak RTK yang menempatkan asrama lelaki untuk meningkatkan ilmu tani agar dapat berdikari selepas keluar dari RTK.

 

Namun, disebabkan kesemua anak tersebut bersekolah dan kekangan masa untuk melaksanakan projek pertanian, penyelia rumah berkenaan, Mak Linda, 48, telah mencadangkan agar projek pertanian ini dapat dilaksanakan di RTK yang menempatkan asrama ibu tunggal, warga emas dan OKU.  

 

Tambahan lagi, adanya ibu tunggal di RTK Titiwangsa yang minat dengan aktiviti bercucuk tanam, maka idea untuk mewujudkan kebun sayur dan tanaman herba di RTK terhasil.

 

Beliau juga risau keselamatan penghuni RTK disebabkan rumput di kawasan RTK yang cepat meninggi dan perlu kerap dipotong terutamanya pada musim hujan.

 

Bagi merealisasikan idea tersebut dan sebagai langkah permulaan, kursus asas penanaman telah dilaksanakan oleh pegawai dari UCTC UPM dan dihadiri penghuni RTK serta alumni SDARA85.

 

 

UPM
SDARA85 (batch 1981-1985) dari Sekolah Datuk Abdul Razak, Seremban dan pasukan Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), UPM

 

 

Pegawai Pertanian UCTC UPM, Mahani Amat @ Halimi berkata, modul asas tanaman ini meliputi semaian biji benih, semaian keratan batang, kesesuaian media tanaman dan pembajaan diterapkan dalam kursus ini.

 

‘’Kursus ini bertujuan bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran bertani dalam kalangan penghuni RTK dan mengurangkan risiko kegagalan,” ujar beliau.

 

PKP2.0 yang bermula pada 13 Januari 2021 menyebabkan perancangan pelaksanaan kebun bandar RTK sedikit terjejas disebabkan perintah kawalan pergerakan yang tidak membenarkan aktiviti secara bersemuka dan berkumpulan dilaksanakan.

 

Aktiviti kursus lanjutan dan demonstrasi kaedah pertanian terpaksa dibatalkan berikutan PKP2.0.

 

Namun kata Mahani, PKP2.0 bukan penghalang untuk meneruskan projek ini dan platform media sosial digunakan sepenuhnya untuk menggerakkan dan memastikan projek ini terus dapat dilaksanakan.

 

Menurutnya, aktiviti pemantauan secara berkala juga dilakukan menerusi aplikasi WhatsApp sama ada siang atau malam pihaknya akan menghubungi penghuni RTK untuk mengetahui permasalahan yang timbul semasa aktiviti penanaman dilakukan.

 

 

UPM
Nor Jaiton Hussin

 

 

Kaedah penanaman secara tanam terus di dalam kotak penanaman dan menggunakan polibeg dan bahan terbuang dilaksanakan.

 

Hasilnya, Kawasan RTK yang sebelum ini dipenuhi rumput dan semak telah bertukar wajah dengan kepelbagaian tanaman herba dan sayuran seperti serai, kunyit, selasih, daun bawang, kangkung, sawi, bayam, terung, bendi, kacang panjang, dan lain-lain.

 

Menurut Nor Jaiton Hussin, salah seorang penghuni RTK, hasil sayur-sayuran yang ditanam di musim PKP dan pandemik ini juga telah membantu untuk memperoleh sumber makanan segar, hari-hari petik sayur depan rumah untuk dimasak sebagai juadah.

 

“Kami juga menjual lebihan hasil tanaman seperti terung, bendi, kangkung, malah, ianya tidak mencukupi untuk menampung permintaan pelanggan dan saya tidak sangka hobi bercucuk tanam ini juga dapat memberikan tambahan pendapatan.  

 

“Saya juga berhasrat untuk membesarkan nurseri yang ada dengan pelbagai jenis tanaman dan menjual anak-anak pokok yang disemai kepada orang luar dan pelawat yang mengunjungi RTK”, ujar Nor Jaiton.

 

Melihatkan hasil yang diperoleh, ia memberi semangat kepada penghuni RTK untuk turut bersama-sama menjalankan aktiviti bercucuk tanam kerana ia adalah aktiviti yang menyeronokkan dan anak-anak juga dapat menjadikan aktiviti ini sebagai riadah di RTK ketika pandemik ini.

 

“Aktiviti bercucuk tanam juga adalah terapi diri dan dapat mengurangkan tekanan harian selepas memantau tugasan PDPR anak-anak. Sekurang-kurangnya adalah sedikit aktiviti yang boleh menghilangkan kebosanan ketika PKP ini”, tambah Nor Jaiton lagi.

 

 

UPM

 

 

Pengarah, Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof. Dr Loh Teck Chwen berkata, program seperti ini adalah baik untuk dilaksanakan di semua rumah amal dan kebajikan seperti RTK kerana pelbagai manfaat boleh diperolehi untuk penghuni berkenaan seperti penjimatan perbelanjaan, ruang beriadah untuk mengeluarkan peluh dan membekalkan makanan sayur-sayuran segar untuk penghuni.

 

Menurutnya, UCTC UPM sentiasa menyokong aktiviti seumpama ini untuk dilaksanakan oleh rumah amal dan kebajikan.

 

Malah, pihak UCTC UPM juga bersedia untuk membantu mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) atau syarikat korporat yang berhasrat untuk melaksanakan program seperti ini sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) tetapi tidak mempunyai pengetahuan tani dan kekangan masa, boleh menghubungi pihaknya untuk merealisasikan niat baik itu.

 

Penglibatan warga kampus UPM dalam aktiviti ini juga dapat membantu mendekatkan jurang antara komuniti dan warga kampus, malah dapat meningkatkan keterlihatan universiti bersama masyarakat melalui program sedemikian.

 

“UPM mempunyai kepakaran dan pengetahuan yang boleh dikongsikan untuk manfaat komuniti di luar sana, kadangkala komuniti dan syarikat korporat luar tidak mengetahui cara untuk mendapatkan khidmat dan kepakaran universiti”, ujar Loh.

 

Oleh itu, jika ada mana-mana badan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat atau rumah amal kebajikan yang ingin melaksanakan program kebun bandar atau mendapatan khidmat kepakaran UPM dalam bidang lain seperti ternakan, perikanan, kesihatan, pemakanan atau lain-lain, boleh menghantar emel ke [email protected] untuk berhubung dengan UCTC UPM. – DagangNews.com